• Najib Adakan Pertemuan Dengan Raja Jordan

    Reporter: uMieySurianie
    Published: Thursday, 14 December 2017
    A- A+
    Foto BERNAMA


    ISTANBUL: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengadakan pertemuan dengan Raja Jordan, Raja Abdullah II bagi membincangkan mengenai kepentingan Baitulmaqdis sebagai kota suci umat Islam dan hubungan Malaysia-Jordan.

    Pertemuan itu berlangsung sewaktu Sidang Kemuncak Luar Biasa Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) di sini pada Rabu.

    Najib berkata semasa pertemuan selama 25 minit itu, Raja Abdullah telah menyuarakan kebimbangan baginda terhadap tindakan unilateral Amerika Syarikat mengiktiraf Al-Quds Al-Sharif (Baitulmaqdis) sebagai ibu negara baharu Israel.

    "Dalam hal ini, Raja Abdullah menegaskan umat Islam perlu bijak dalam menangani isu tersebut memandangkan ia boleh disalahtafsirkan masyarakat antarabangsa dan memburuk imej umat Islam.

    "Baginda berpendapat umat Islam patut sentiasa mencerminkan keinginan mencapai keamanan dan perdamaian serta penyelesaian melalui rundingan supaya tidak boleh dikaitkan sebagai kumpulan ekstrem," katanya kepada wartawan Malaysia selepas menghadiri sidang kemuncak itu.

    Katanya, selain itu, Raja Abdullah juga berharap hubungan Malaysia dan Jordan dapat diperkukuhkan melalui pertemuan dua hala bagi meningkatkan hubungan terutama dalam bidang perdagangan antara kedua-dua negara.

    Sidang Kemuncak Luar Biasa itu bagi meneliti perkembangan dan membincangkan implikasi ekoran pengumuman oleh Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump untuk mengisytiharkan Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel.

    Susulan pengisytiharan itu, pentadbiran Amerika Syarikat itu mahu memindahkan kedutaannya dari Tel Aviv ke Baitulmaqdis.-- BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " Najib Adakan Pertemuan Dengan Raja Jordan "