• Naikkan Pinjaman TEKUN Sehingga RM500,000

    Reporter: M. H. W.
    Published: Saturday, 16 December 2017
    A- A+

    KOTA KINABALU - Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN), disaran meningkatkan jumlah pinjaman sehingga RM500,000 kepada usahawan-usahawan kecil dan sederhana yang telah berjaya agar mereka dapat mengembangkan lagi perniagaan ke pasaran lebih luas dan menjadi pengeksport.

    Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata, jumlah pinjaman sehingga RM100,000 yang disediakan sekarang tidak mencukupi untuk menampung peningkatan kos operasi yang semakin meningkat.

    Tegas beliau, peningkatan jumlah pinjaman juga penting untuk menyahut seruan kerajaan supaya usahawan mikro dapat menjual produk-produk mereka sehingga ke luar negara bukan di Malaysia sahaja.

    “Sekarang ini kos sudah meningkat kalau RM50,000 atau RM100,000 mana cukup, kita mahu usahawan go bigger, go global ini dasar kerajaan.

    “Kalau RM500,000 barulah boleh kembangkan perniagaan, jual produk ke China, Asia Barat dan seluruh dunia untuk menjadi usahawan yang lebih berjaya,” katanya ketika berucap dalam program Karnival Tekun di sini hari ini.

    Karnival berkenaan yang dihadiri lebih 5,000 pengunjung termasuk usahawan Tekun dirasmikan Ketua Menteri, Tan Sri Musa Aman.

    Tajuddin berkata, sejak ditubuhkan 30 tahun lalu, Tekun telah memberikan pinjaman bernilai RM4.9 bilion kepada sebanyak 400,000 usahawan mikro seluruh negara.

    Katanya, Sabah tidak ketinggalan apabila 40,000 usahawan di negeri itu telah menikmati faedah pinjaman Tekun dalam pelbagai sektor perniagaan.

    “Saya juga berbangga dengan peminjam di Sabah kerana bayaran balik pinjaman yang telah dibayar balik ialah RM500 juta dan paling tinggi di negara ini.

    “Ini buktinya langkah Tekun berjaya membantu usahawan mikro di Sabah dalam perniagaan sehingga mereka boleh membayar balik pinjaman,” katanya. - UTUSAN ONLINE

    Subjects:

  • No Comment to " Naikkan Pinjaman TEKUN Sehingga RM500,000 "