• Naik Bas, Naik Kereta, Kena Cekup Jua

    Published: Tuesday, 26 December 2017
    A- A+

    Jabatan Imigresen Malaysia Kelantan menahan dua warga tempatan dan lima pendatang asing tanpa izin (PATI) dalam operasi di Taman Desa Wangi, Kubang Kerian, Kota Bharu, semalam.

    Pengarah JIM Kelantan Wan Mohammed Saupee Wan Yusoff berkata, dalam serbuan 6.45 petang itu, semua warga Myanmar berusia antara 22 hingga 40 tahun baru tiba di negeri ini.

    Katanya, warga tempatan yang ditahan berusia 31 dan 44 tahun.

    "Serbuan dilakukan bersama Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM) selepas mendapat maklumat awam berkaitan penyeludupan PATI.

    “Kita membuat pemantauan di hadapan premis di Peringat dan mendapati lima warga asing itu baru sampai menggunakan bas. Hampir sejam, mereka menaiki kereta Proton Waja menuju ke bandar Kota Bharu dan kita mengekori mereka.

    “Perkara itu disedari pemandu yang memecut kenderaan dan sampai di satu lokasi di Taman Desa Wangi, tiga penumpang belakang turun dan melarikan diri, manakala kereta itu terus memecut ke kawasan berdekatan," katanya hari ini.

    Menurutnya, tiga penumpang termasuk seorang pemandu berjaya ditahan.

    Katanya, semua PATI berkenaan dipercayai dari Lembah Klang dan mahu menyeludup keluar melalui mana-mana pangkalan haram di negeri ini.

    "Semua dihantar ke depot Imigresen di Tanah Merah manakala dua lelaki tempatan ditahan sementara di lokap Balai Polis Pengkalan Chepa.

    "Kes disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Peyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM)," katanya.-myMetro

    Subjects:

  • No Comment to " Naik Bas, Naik Kereta, Kena Cekup Jua "