• Nabil Sibuk Cari Penaja

    Published: Tuesday, 5 December 2017
    A- A+

    KUALA LUMPUR: Tajaan menjadi faktor penting buat pemandu negara, Nabil Jeffri bagi menentukan pembabitannya dalam saingan perlumbaan Formula Dua (F2) tahun depan.

    Ketika ini, Nabil sedang giat mencari tajaan untuk membolehkan dirinya meneruskan karier di F2 musim depan selepas menamatkan saingan di tangga ke-23 dengan mengumpul dua mata keseluruhan daripada 22 pusingan musim ini.

    "Saya masih menunggu tajaan untuk beraksi di F2 (musim depan) ketika ini," kata Nabil. "SIC (Litar Antarabangsa Sepang) mempunyai perancangan berbeza di mana mahu saya menyertai perlumbaan endurance tetapi saya tetap mahu beraksi dalam F2 dan (sekiranya menerima tajaan) saya mahu menamatkan saingan di kelompok lima atau 10 terbaik (musim depan).

    "InsyaAllah dalam tempoh satu atau dua bulan lagi, saya akan dapat tahu mengenai penajaan dan menyaksikan sama ada saya boleh beraksi lagi di F2 ataupun tidak."

    Nabil memulakan kariernya dalam sukan empat roda selepas menjuarai Kejohanan Terbuka Kart Asia pada 2004 sebelum menjulang trofi Kejuaraan Remaja Rotax Max Malaysia, lima tahun kemudian.

    Pemandu berusia 24 tahun itu kemudiannya menyertai Formula BMW Pasitic pada 2010 untuk perlumbaan Eurasia Motorsport sebelum menjalani ujian aerodinamik untuk pasukan Lotus Racing Formula Satu pada 2010 sekali gus meletakkan namanya selaku pemandu ujian termuda dalam sejarah F1.

    Susulan daripada kejayaannya itu, Nabil dipilih sebagai Ikon Belia Negara pada tahun yang sama dan berada dalam senarai Program Pembangunan Bakat PETRONAS pada 2013. -BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " Nabil Sibuk Cari Penaja "