• Myanmar akan bebas wartawan Malaysia, Singapura ditahan sejak Oktober

    Reporter: Admin
    Published: Wednesday, 27 December 2017
    A- A+
    Foto Reuters
    YANGON: Polis Myanmar akan menggugurkan dakwaan terhadap 2 wartawan bekerja untuk stesen penyiaran kerajaan Turki, yang dipenjara sejak bulan lalu kerana melanggar undang-undang pesawat dengan membuat penggambaran menggunakan sebuah dron.

    Jurukamera dari Singapura, Lau Hong Meng bersama wartawan dari Malaysia, Mok Choy Lin dan Aung Naing Soe, wartawan tempatan yang menjadi jurubahasa mereka dan pemandu, Hla Tin ditahan polis pada 27 Oktober lalu berdekatan bangunan Parlimen Myanmar di ibu negara, Naypyitaw.

    Mereka sedang menjalani hukuman penjara 2 bulan di bawah undang-undang pesawat era penjajah, tetapi mereka berempat masih berdepan tuduhan mengimport dron. Rakyat Malaysia dan Singapura itu juga didakwa dengan kesalahan imigresen.

    Leftenan Polis Tun Tun Win dan seorang pegawai imigresen, iaitu pengadu hadir di mahkamah Naypyitaw semalam dan meminta mahkamah menggugurkan tuduhan tersebut.

    Tun memberitahu Reuters, pegawai polis atasan mengarahkan kes itu digugurkan kerana mereka berempat tidak berniat membahayakan keselamatan negara dengan menerbangkan dron itu.

    Tambahan, katanya, keputusan itu bertujuan “meningkatkan hubungan antara negara”, merujuk 2 negara asal wartawan, iaitu Singapura dan Malaysia.

    Pendakwa raya dijangka memberitahu mahkamah tuduhan digugurkan secara rasmi dalam satu lagi pendengaran kes yang ditetapkan Khamis ini, kata peguam Khin Maung Zaw kepada Reuters.

    “Pihak berkuasa atasan sudah mengarahkan tuduhan itu digugurkan dengan niat baik, tetapi prosedur hanya boleh dilakukan pada hari tersebut (Khamis),” kata peguam itu.

    Katanya, mereka berempat yang sepatunya menamatkan hukuman penjara di bawah akta pesawat pada 9 Januari ini, mungkin dibebaskan lebih awal kerana berkelakuan baik.

    Kes itu mencetuskan kebimbangan tentang kebebasan akhbar di Myanmar, di mana kerajaan sivil diketuai penerima anugerah Nobel, Aung San Suu Kyi, mengambil alih tahun lepas, tetapi angkatan tentera kekal berkuasa dalam hal keselamatan, termasuk polis.

    Dua wartawan Reuters ditangkap pada 12 Disember lalu, selepas mereka bertemu engan pegawai polis untuk makan malam di pinggir bandar Yangon. Wa Lone, 31, dan Kyaw Soe Oo, 27, sudah ditahan 2 minggu tanpa dibenarkan menemui pelawat atau peguam.

    Mereka membuat liputan krisis di Rakhine yang menyebabkan 655,000 etnik Rohingya Islam melarikan diri ke Bangladesh sejak Ogos lalu.

    Dua wartawan itu sedang disiasat di bawah Akta Rahsia Rasmi era kolonial. - Reuters/FMT

    Subjects:

  • No Comment to " Myanmar akan bebas wartawan Malaysia, Singapura ditahan sejak Oktober "