• Muhammad Dedah Strategi DAP Menangkan Pakatan Harapan Pada PRU14

    Published: Thursday, 21 December 2017
    A- A+

    Strategi Pakatan Harapan (PH) untuk menang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) adalah dengan mendapatkan hanya 30 peratus undi Melayu dan selebihnya 70 peratus undi bukan Melayu bagi memenangkan calon-calon yang mewakili mereka.

    Bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Muhammad Muhammad Taib berkata nisbah peratusan sebegitu sengaja disusun DAP agar setiap kerusi yang dimenangi wakil PH dikuasai pengundi bukan Melayu.

    Strategi itu juga bagi memastikan bukan PKR, Amanah atau Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) menjadi parti paling berkuasa dalam PH, sebaliknya DAP, kata Muhammad.

    “DAP akan menarik seramainya pengundi (bukan Melayu) untuk undi calon-calon PH. Kesannya nanti adalah, jika kerajaan (berjaya dibentuk) maka ia akan jadi kerajaan ‘DAP base’.

    “Parti DAP yang akan kuat (berbanding parti komponen lain). Dengan sendiri dia (DAP) rasa dia kuat. Sebab dia tahu, banyak undi-undi DAP yang menyokong PH (hingga menang PRU).

    “Wakil-wakil rakyat Melayu dalam PH akan sedar kekuatan yang mereka menang itu bukan solid daripada pengundi Melayu. Undi Melayu mungkin dalam 30 peratus sahaja selebihnya 70 peratus adalah pengundi bukan Melayu,” ujarnya ketika ditemubual secara eksklusif Antarapos, baru-baru ini.

    Justeru Muhammad berkata amat penting untuk pengundi Melayu menyedari hakikat ini kerana natijah jika PH mengambilalih pemerintahan negara amat teruk.

    “Orang Melayu mesti faham, (mereka) nakkan kerajaan yang kuat berdasarkan payung Melayu atau nak satu kerajaan yang kuat, payungnya DAP?

    “Mana satu kita nak? ‘DAP base’? atau ‘Umno base’? Sudah tentu kita nak ‘Umno base’. Umno kita amat jelas dari segi dasar nak bantu orang Melayu,” ujarnya.

    Muhammad berkata beliau begitu memahami selok-belok politik PH berikutan pernah menjadi sebahagian daripada gagasan itu sebelum ini.

    Selepas bersama pembangkang, Muhammad semakin sedar siapa ‘taiko’ dalam pakatan pembangkang dan memahami jika beliau berhasrat untuk memperjuangkan nasib orang Melayu, PH bukan platform yang tepat untuk berbuat demikian. - TV14

    Subjects:

  • No Comment to " Muhammad Dedah Strategi DAP Menangkan Pakatan Harapan Pada PRU14 "