• MSN tubuh Unit Sukan Elektronik

    Reporter: Azmin Ramlie
    Published: Wednesday, 13 December 2017
    A- A+

    KUALA LUMPUR: Majlis Sukan Negara (MSN) akan menubuhkan Unit Sukan Elektronik bagi membangunkan bidang itu sebagai persiapan menghadapi Sukan Asia 2022 di Hangzhou, China.

    Mengumumkan perkembangan itu, Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata Majlis Olimpik Asia (OCA) sudah pun mengiktiraf sukan berkenaan apabila menyenaraikannya pada Sukan Asia.

    "Sukan elektronik ini sudah diiktiraf sebagai satu sukan dan kita tak boleh ketinggalan dalam melatih lebih ramai atlet bagi sukan ini," katanya selepas menyaksikan majlis menandatangani perjanjian antara 100Plus dan Perbadanan Sukan Malaysia (PSM) di Bandar Sukan Kuala Lumpur (KLSC), Bukit Jalil, dekat sini hari ini.

    Buat julung kalinya, sukan elektronik atau lebih dikenali e-sports akan disenaraikan sebagai sukan demonstrasi pada Sukan Asia 2018 di Indonesia sebelum dipertandingkan pada temasya seterusnya di Hangzhou.

    Selain sukan elektronik, Khairy berkata Mesyuarat Lembaga Pengurus MSN juga memutuskan untuk menganjurkan kejohanan kebangsaan dan sirkit kebangsaan bagi sukan papan luncur serta memanjat.

    "MSN akan membantu menganjurkan kejohanan kebangsaan sukan papan luncur dan memanjat disebabkan ia akan dipertandingkan pada Sukan Olimpik 2020 di Tokyo nanti," katanya.

    Sementara itu, 100Plus menandatangani penajaan dengan PSM selaku minuman rasmi di KLSC bagi tempoh lima tahun. Ia membabitkan penajaan wang tunai sebanyak RM5.5 juta dan barangan bernilai RM500,000.

    Menerusi perjanjian penajaan itu, 100Plus dan minuman keluaran F&N lain akan ditempatkan di sekitar KLSC. Selain itu, satu trek laluan berbasikal bertemakan 100Plus sejauh 1.4 kilometer akan dibina di sekitar Stadium Nasional.

    "Langkah yang diambil ini adalah usaha dalam mengurangkan kebergantungan PSM kepada kerajaan. Saya berharap lebih banyak lagi perjanjian komersil akan ditandatangani bersama PSM," kata Khairy.

    Sebelum ini, syarikat telekomunikasi, Axiata menaja Stadium Putra. Menerusi penajaan itu, ia menyaksikan penukaran nama kepada Arena Axiata sebelum disusuli penajaan produk bertaraf dunia dari Samsung, Sebheiser, Seiko dan Botch.

    Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Fraser & Neave Holdings Bhd, Lim Yew Hoe berkata: "Dengan termeterainya perjanjian ini, 100Plus kini mampu memastikan pengguna sentiasa berada dalam keadaan terhidrat ketika terbabit dalam pelbagai acara diadakan di KLSC." - BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " MSN tubuh Unit Sukan Elektronik "