• MPP Mahu Henti Amalan 'Ali Baba' Dalam Pelaksanaan Projek

    Reporter: Dayyan Mikhail
    Published: Friday, 22 December 2017
    A- A+

    Bagi menghentikan amalan 'Ali Baba' dalam pelaksanaan projek, Majlis Perbandaran Padawan (MPP) menetapkan peraturan ketat kepada kontraktor bermula tahun depan, lapor Utusan Borneo.

    Timbalan Pengerusi MPP, Datuk Ahmad Ibrahim berkata, mana-mana kontraktor yang dilantik melaksanakan sesuatu projek tidak boleh memberikannya kepada subkontraktor.

    "Semua kontraktor yang mendapat projek perlu memandatangani akuan berkanun sama ada melibatkan kerja awam atau saliran, pemotongan rumput, jalan, jambatan, landskap dan sebagainya.

    "Jika mereka dikesan melakukan perkara itu, mereka boleh dihukum kerana kami mahu menghentikan cara kerja sebegini dan mahu mereka bertanggungjawab terhadap tugas yang dilakukan," katanya.

    Malah menurutnya, MPP turut memperkenalkan proses yang ketat dalam tender di mana setiap kontraktor yang memohon projek mesti mempunyai rujukan daripada agensi lain atau Jabatan Kerja Raya (JKR) termasuk pihak berkuasa tempatan lain.

    "Kami tidak mahu memberi peluang kepada mereka yang hanya mahu mencuba mendapat projek tetapi tidak mampu melaksanakannya," ujarnya.-Sarawakiana
  • No Comment to " MPP Mahu Henti Amalan 'Ali Baba' Dalam Pelaksanaan Projek "