• Mourinho tak puas hati

    Reporter: Yusz Man
    Published: Tuesday, 26 December 2017
    A- A+

    LONDON: Jose Mourinho mendakwa adalah tidak adil buat anak buahnya apabila terpaksa beraksi sehari selepas sambutan hari Krismas sedangkan pendahulu Liga Perdana Inggeris, Manchester City pula hanya akan turun ke padang esok.

    United dijadualkan berdepan Burnley di Old Trafford malam ini berbanding City yang dibezakan dengan 13 mata akan beraksi menentang Newcastle sehari selepas aksi anak buah Mourinho.

    Pada perlawanan Sabtu lalu, United dan Leicester sekadar terikat 2-2 dan ia adalah aksi keempat dalam 10 hari buat United.

    "Ia bukan hanya soal keistimewaan yang diberikan kepada pasukan itu (City) apabila memiliki enam hari untuk kembali cergas, tetapi ia juga mengenai cuti hari Natal yang menyaksikan kami beraksi lebih awal daripada mereka," kata pengurus United itu kepada Sky Sports.

    "Ini bermakna mereka tidak akan bekerja hari ini dan hanya kembali bekerja serta berlatih mulai esok berbanding kami yang sudah memulakan persediaan hari ini. Masalah yang saya lihat adalah kelebihan dan keistimewaan yang diberikan kepada beberapa pasukan.

    "Maka tidak hairanlah akan ada pemain hanya beraksi selama 15-20 minit saja dan tidak kekal di atas padang hingga 90 minit ekoran kecederaan selepas tidak cergas seperti yang berlaku pada sepanjang bulan ini.

    "Sudah tentu ia bergantung kepada banyak faktor, tetapi saya tetap bimbang dengan situasi kami ketika ini."

    Jelasnya lagi, sambutan Krismas kali ini tampak berbeza dan mengakui tidak semeriah seperti tahun-tahun sebelumnya selepas ketiadaan bapanya yang meninggal dunia pada Jun lalu

    "Ini adalah Krismas yang pertama tanpa ayah saya dan saya fikir ia adalah yang paling sukar," katanya.-AFP

    Subjects:

  • No Comment to " Mourinho tak puas hati "