• Moody's kukuh penarafan A3 hutang Malaysia

    Published: Friday, 8 December 2017
    A- A+

    KUALA LUMPUR: Moody's Investors Service (Moody's) terus mengekalkan profil kredit Malaysia yang stabil, sekali gus mencerminkan usaha berhemah kerajaan untuk menguruskan kedudukan hutangnya.

    Agensi penarafan antarabangsa itu mengukuhkan penarafan bon kerajaan Malaysia, pada A3 sambil mengekalkan tinjauan stabil dalam penilaian terbaharunya terhadap kedudukan kredit negara ini.

    Moody's menerusi penilaiannya berkata, tinjauan stabil diberikan kerana Malaysia mampu mengimbangi kekangan kredit jangka panjang iaitu beban hutang tinggi dan pendedahan terhadap risiko luaran dengan kekukuhan yang ada dalam kredit, termasuk pertumbuhan ekonomi berdaya saing.

    Malaysia juga memiliki beberapa institusi domestik besar yang menyediakan persekitaran kewangan stabil untuk hutang kerajaan.

    "Tanpa pembaharuan selanjutnya, kami menjangkakan komitmen kerajaan terhadap pengukuhan fiskal akan mengehadkan usaha menambah baik paras hutang awam Malaysia dan kemampuan membuat hutang.

    "Namun, laluan pertumbuhan mantap yang menyediakan asas pengembangan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) nominal, memberikan kestabilan terhadap beban hutang ini," kata Moody's.

    Walaupun jumlah pelabur asing adalah tinggi dan pendedahan negara ini kepada eksport berasaskan komoditi menyebabkan kedudukan terdedah kepada perubahan kadar faedah serta pergerakan harga komoditi global, faktor pengimbang sedia ada seperti pasaran modal domestik yang mendalam dan kedudukan luaran yang teguh boleh menyerap impak ketidaktentuan berkenaan.

    Di dalam penilaian terbaharunya, Moody's menjelaskan hutang kerajaan akan kekal tinggi, namun secara umum adalah stabil.

    Katanya, komitmen kerajaan terhadap pengukuhan fiskal menyebabkan defisit fiskal menguncup buat tujuh tahun berturut-turut.

    "Walaupun kadar pengukuhan akan perlahan menuju ke hadapan, kami masih menjangkakan defisit terus menguncup kepada 2.8 peratus daripada KDNK pada 2018 sejajar dengan unjuran bajet, berbanding 3.0 peratus pada 2017 dan 6.7 peratus pada 2010.

    "Penguncupan defisit dicapai khususnya melalui perbelanjaan lebih ketat dan pengenalan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) pada 2015.

    "Bagaimanapun, ketiadaan langkah bermakna lain untuk menjana pendapatan, usaha pengukuhan fiskal tambahan adalah terhad.

    "Pada pandangan Moody's, pencapaian sasaran bajet berimbang kerajaan bergantung seluruhnya kepada pengembangan pertumbuhan, berbanding langkah bajet berstruktur," katanya. - BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " Moody's kukuh penarafan A3 hutang Malaysia "