• Monyet Tunggang Khinzir Tarik Perhatian Pasangan England

    Reporter: uMieySurianie
    Published: Monday, 11 December 2017
    A- A+


    PASANGAN suami isteri dari England tergamam apabila melihat seekor monyet menunggang seekor khinzir ketika sedang melalui sebuah kawasan kejiranan.

    Paulina Jawor sempat merakamkan insiden itu ketika kedua-dua haiwan berkenaan berkeliaran di sebuah kawasan tumpuan pelancong.

    Khinzir yang berwarna perang dan bertompok hitam itu didakwa kelihatan gembira membawa 'penumpang' di atas badannya kerana ia turut mendapat 'bayaran'.

    Selepas berkeliaran selama 10 minit, khinzir itu menghampiri kawasan tong sampah dan si monyet melompat ke atasnya sebelum mengambil makanan untuk dikongsi bersama.

    Paulina merakamkan beberapa keping gambar kejadian yang melucukan itu sewaktu dia berkunjung ke Jaipur, India pada minggu lalu.

    Wanita berusia 31 tahun itu yang berasal dari Toothing di selatan London berkata: "Kami menikmati hari yang menyeronokkan ketika bersiar-siar di Jaipur dan berjalan ke arah kawasan yang indah untuk melihat pemandangan keseluruhan bandar itu.

    "Terdapat banyak monyet dan khinzir di kawasan itu. Monyet-monyet suka mengusik dan beberapa ekor khinzir lain pula tersenguk-sengak.

    "Tiba-tiba, seekor monyet melompat ke atas seekor khinzir dan menunggangnya. Khinzir itu tidak nampak terganggu dan si monyet membuat bunyi seakan-akan sedang gembira," katanya.

    Memetik laporan The Mirror UK, Paulina berkata, kedua-dua haiwan itu kelihatan seperti berkawan baik.

    Jurugambar itu dan suaminya, James Cox sedang mengembara ke India untuk berbulan madu. - mStar

    Subjects:

  • No Comment to " Monyet Tunggang Khinzir Tarik Perhatian Pasangan England "