• MH17: Mahkamah Ukraine arah tangkap veteran tentera Rusia

    Reporter: Admin
    Published: Wednesday, 13 December 2017
    A- A+
    PETALING JAYA: Sebuah mahkamah Ukraine mengarahkan penahanan seorang veteran tentera Rusia yang disyaki terbabit dalam tindakan menembak jatuh pesawat MH17 pada 2014.

    Kyiv Post melaporkan Sergey Dubinsky disyaki mengatur pergerakan pelancar misil BUK Rusia ke Ukraine bagi menembak jatuh pesawat Malaysia Airlines itu.

    Suaranya turut didakwa kedengaran dalam panggilan telefon yang dipintas Perkhidmatan Keselamatan Ukraine (SBU) bagi mengarahkan tentera diketuai Rusia menghantar BUK itu ke lokasi ditetapkan.

    Kyiv Post memetik portal berita Ukrainnski Novyny sebagai berkata, Mahkamah Daerah Shevchenkivsky mengeluarkan waran tangkap kepada SBU untuk menahan Dubinsky.

    SBU berkata, Dubinsky didakwa terbabit dalam satu serangan pengganas dan sudah dimaklumkan mengenai pendakwaan itu.

    Menurut laporan itu, Dubinsky berkhidmat sebagai ketua risikan untuk pegawai risikan tentera Rusia yang disyaki bernama Igor “Strelkov” Girkin.

    Girkin yang mendakwa mengetuai campur tangan pasukan bersenjata Rusia di wilayah Donets Basin di Ukraine 2 tahun lalu, memulakan konflik ketika ini.

    Penerbangan MH17 ditembak jatuh di wilayah Donetsk, timur Ukraine ketika dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur. Semua 298 penumpang dan anak kapal terbunuh.

    Pihak berkuasa menyimpulkan pesawat itu ditembak jatuh satu roket darat ke udara buatan Rusia. Moscow bagaimanapun menafikan penggunaan sebarang roketnya.

    Pada 22 September lalu, Malaysia, Ukraine, Australia, Belgium dan Belanda menandatangani satu memorandum persefahaman mengenai sokongan politik untuk mendakwa penjenayah terbabit.

    “Bersetuju untuk mendakwa pelaku menjatuhkan penerbangan MH17 di Belanda, negara pasukan penyiasatan bersama itu mengesahkan mereka akan membantu satu sama lain jika ada di antara mereka berdepan sebarang tekanan luaran bagi menjejaskan pendakwaan atau kerjasama antara mereka,” kata Wisma Putra.

    Ahad lalu, Sydney Morning Herald melaporkan seorang jeneral separuh bersara Rusia, Nikolai Fedorovich Tkachev dikenal pasti sebagai orang yang memantau pergerakan rentas sempadan pelancar roket itu.

    Pengenalpastian jeneral itu dibuat melalui siasatan sepasukan outlet media yang terdiri daripada syarikat penerbitan McClatchy di Amerika Syarikat, laman web penyiasatan Bellingcat (berpangkalan di London) dan The Insider (berpangkalan di Moscow).

    Oktober lalu, pasukan penyiasatan bersama MH17 yang diketuai Belanda mengeluarkan rayuan untuk mendapatkan maklumat dan sekeping gambar dipercayai menunjukkan misil yang menembak jatuh pesawat terbabit.

    Menurut laporan AP, gambar itu menunjukkan objek kelihatan seperti satu misil dan pelancar mudah alih yang sebahagiannya ditutup dengan jaring samaran.

    Sebuah van hitam dengan sebahagian pintunya terbuka melindungi kenderaan itu, manakala bahagian tepi sebuah kereta boleh dilihat di sebelah kanan gambar berkenaan.

    Laporan itu berkata, penyiasat percaya gambar itu mungkin diambil di bandar Makeevka, Ukraine, pada hari pesawat itu ditembak jatuh. - FMT

    Subjects:

  • No Comment to " MH17: Mahkamah Ukraine arah tangkap veteran tentera Rusia "