• Mexico Kekal Kedutaan Di Tel Aviv

    Published: Thursday, 7 December 2017
    A- A+


    BANDARAYA MEXICO: Kementerian Luar Mexico pada Rabu berkata, kedutaannya di Tel Aviv, Israel tidak akan dipindahkan, walaupun Amerika Syarikat (AS) memutuskan untuk memindahkan kedutaan negara itu ke Baitulmuqaddis, lapor agensi berita Xinhua.

    Keputusan Mexico itu, selaras dengan resolusi Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) mengenai status Baitulmuqqadis, kata kementerian dalam satu kenyataan.

    Pada Rabu, Presiden AS, Donald Trump mengiktiraf Baitulmuqaddis sebagai ibu kota Israel dan mengarahkan Jabatan Negara untuk memindahkan kedutaannya ke bandar itu. Status Baitulmuqaddis kekal menjadi isu utama dalam konflik Israel-Palestin.

    Setakat ini, masyarakat antarabangsa tidak mengiktiraf Baitulmuqaddis sebagai ibu kota Israel dan tiada negara asing yang menempatkan kedutaannya di bandar itu.

    "Mexico mengulangi keyakinannya bahawa penyelesaian politik dan usaha damai terhadap konflik itu mesti menerusi rundingan langsung...membabitkan pihak bertelagah untuk mencari jalan keluar kepada penyelesaian yang hakiki termasuk status muktamad Baitulmuqaddis," kata kementerian itu.

    Beberapa negara dunia turut menggesa Majlis Keselamatan PBB mengadakan mesyuarat tergempar berhubung isu berkenaan.- Bernama

    Subjects:

  • No Comment to " Mexico Kekal Kedutaan Di Tel Aviv "