• Mesyuarat Khas Dewan Tertinggi BN 3 Januari

    Published: Wednesday, 27 December 2017
    A- A+

    KUALA LUMPUR: Mesyuarat khas Dewan Tertinggi Barisan Nasional (BN) dijangka diadakan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini pada 3 Januari ini, dipercayai bagi membincangkan persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

    Beberapa pemimpin parti komponen BN, termasuk di Sabah dan Sarawak ketika dihubungi malam tadi, mengesahkan mengenai tarikh mesyuarat itu yang akan dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

    "Ya, ada," kata Timbalan Presiden GERAKAN, Datuk Dr Cheah Soon Hai ketika dihubungi bagi mengesahkan mesyuarat itu, tetapi enggan mengulas lanjut.

    Sumber Parti Bersatu Sabah (PBS) juga mengesahkan menerima jemputan untuk menghadiri mesyuarat khas itu, namun enggan mengulas lanjut apa yang akan dibincangkan.

    "Ya, ...memang betul ada jemputan untuk menghadiri mesyuarat tertinggi BN dan saya pasti ia juga diterima parti komponen lain dari Sabah," katanya.

    Perkembangan terbaru itu menguatkan lagi spekulasi berhubung PRU-14 diadakan pada awal tahun depan, dengan Parlimen dijangka dibubarkan selepas sambutan Tahun Baharu Cina yang disambut pada pertengahan Februari.

    Amat jarang BN mengadakan mesyuarat khas kecuali bagi membincangkan PRU-14. Semua 13 parti komponen adalah ahli Dewan Tertinggi BN.

    Najib ketika menyampaikan amanatnya pada satu majlis tertutup sempena Perhimpunan Agung UMNO pada awal bulan ini menjelaskan UMNO dan BN sudah bersedia menghadapi PRU-14.

    Sumber lain pula memberitahu BH, mesyuarat khas berkenaan sepatutnya berlangsung pada 12 Disember lalu, namun terpaksa ditunda ke tarikh baharu atas sebab tidak dapat dielakkan.

    Ia termasuk jadual ketat Najib yang juga Pengerusi BN, berikutan siri lawatan rasminya ke Turki, selain Sri Lanka dan Maldives, baru-baru ini.

    "Difahamkan, mesyuarat itu juga bagi mengemas kini persiapan menghadapi PRU-14 yang dijangka diadakan pada suku pertama tahun depan, terutama memperkukuhkan jentera di peringkat akar umbi," katanya.

    Sumber berkata, mesyuarat khas itu juga bagi membincangkan senarai pencalonan dikemukakan setiap parti komponen bersandarkan elemen 'boleh menang' dan disenangi rakyat pada peringkat akar umbi.

    Beberapa pemimpin parti komponen BN di Sarawak pula dikatakan sudah 'mengosongkan' jadual program mereka pada 3 Januari ini.-BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " Mesyuarat Khas Dewan Tertinggi BN 3 Januari "