• Meninggal Lepas Jalani Pembedahan Plastik Di Malaysia

    Reporter: Bukan Nama Sebenar
    Published: Thursday, 21 December 2017
    A- A+

    BIARPUN terdedah risiko berbahaya, masih ramai yang sanggup melakukan pembedahan plastik semata-mata ingin mendapat rupa fizikal yang diidamkan.

    Di Korea Selatan dan Thailand misalnya, perkembangan sektor tersebut adalah sangat menggalakkan dan semakin giat dijalankan.

    Maka tidak hairanlah ramai individu memilih untuk menjalankan prosedur pembedahan plastik di sana.

    Pun begitu, seorang lelaki dari Australia telah menjadikan Malaysia sebagai lokasi pilihan untuk melakukan pembedahan plastik di sebuah hospital swasta.

    Lapor ABC News, Leigh Aiple, 31, telah membayar sejumlah RM109,270 untuk menjalani pakej pembedahan plastik di Beverly Wilshire Medical Centre (BWMC), Kuala Lumpur.

    Lelaki tersebut telah menjalani tujuh prosedur termasuk pembedahan mengempiskan perut, rawatan sedut lemak, pembedahan menegangkan mata, pembedahan dagu, prosedur menegangkan peha, mengkonturkan dada dan suntikan filler di bibir.

    Apa yang mengejutkan, kesemua pembedahan tersebut dilakukan dalam tempoh lima hari sahaja.

    Sehari selepas selesai prosedur pembedahan, Aiple dikatakan mendaftar keluar dari pusat perubatan itu dan meneruskan pemulihannya di bilik hotel.

    Dua minggu kemudian, dia pulang ke negara asalnya namun lelaki malang tersebut dilaporkan meninggal dunia tidak sampai 24 jam selepas tiba di Melbourne.

    Atas permintan ibunya, Grace Westworth, pihak berkeusa telah menyiasat rawatan yang diterima lelaki berkenaan sewaktu di Malaysia dan mendapati pusat rawatan tersebut tidak menepati piawaian Australia.

    Menurut bekas ketua pembedahan plastik di Hospital Royal Melbourne, Professor Mark Ashton, beberapa prosedur pembedahan yang dilakukan sepatutnya tidak dijalankan jika dia berada di Australia.

    Tambahan pula, penjagaan selepas pembedahan yang diterima Leigh didakwa ‘sangat tidak mencukupi’.

    “Aiple perlu berada di bawah pemerhatian rapi dalam tempoh empat minggu selepas pembedahan dan dia sepatutnya dinasihatkan tidak menempuh perjalanan jauh menaiki kenderaan atau kapal terbang.

    “Dia juga seharusnya dibawa semula untuk pembedahan apabila lukanya mula pecah dan mendaftarkanya keluar dari pusat rawatan adalan ‘perkara paling buruk yang boleh dilakukan’,” katanya.

    Berdasarkan laporan daripada pihak berkusa, luka lelaki tersebut terbuka dan mengeluarkan bendalir selepas pembedahan, penjaganya juga mendapati bahawa cadar di bilik hotel lelaki tesebut dipenuhi dengan darah.

    Ibunya turut memaklumkan bahawa Aiple mengalami kesakitan yang sangat teruk selepas tiba di Australia pada 11 Mei.

    “Dia tak boleh bergerak, tak boleh berdiri atau bergerak daripada katil selepas pembedahan

    “Terdapat lubang dengan cecair mengalir pada tubuhnya dan dia sering muntah-muntah dan jantungnya kerap berdegup kencang.

    “Saya terkedu melihatkan keadaan luka anak saya yang masih terdedah sehingga saya boleh nampak apa di dalam.

    “Keesokannya, anak saya tidak sedarkan diri di katilnya dan didapati telah meninggal dunia,” kata wanita itu.

    Westworth kemudian meminta agar seorang koroner (pegawai yang menyiasat kes kematian), Caitlin English menyiasat rawatan diterima anaknya di Malaysia.

    Hasil siasatannya mendedahkan pembedahan yang dilakukan adalah ‘terlalu jauh daripada taraf piawaian Australia’.

    Siasatan tersebut turut mendakwa pembedahan ke atas Aiple adalah berisiko tinggi kerana berat badannya melebihi 120kg, namun hospital swasta tersebut tetap meneruskan pembedahan.

    Berdasarkan laporan koroner itu, kematian Aiple disebabkan darah beku yang bergerak daripada kaki ke paru-parunya, menyebabkan arteri jantungnya tersumbat.

    Lebih mengejutkan hasil autopsi menunjukkan bahawa darah beku tersebut muncul sewaktu Aiple masih berada di pusat rawatan itu.

    Caitlin turut menekankan bahawa pembedahan yang dilakukan di luar negara mempunyai risiko tersendiri dan tiada jaminan terhadap piawaian yang ditetapkan.

    “Dalam kes ini, piawaian yang digunakan adalah piawaian Malaysia. Tetapi kualiti piawaian itu tidak mencapai piawaian yang digunakan di Australia.

    “Syarikat-syarikat ini lebih pentingkan keuntungan daripada nyawa pesakit,” katanya lagi. -MYNEWSHUB.CC

    Subjects:

  • No Comment to " Meninggal Lepas Jalani Pembedahan Plastik Di Malaysia "