• Melayu Sarawak Harus Ketahui Hak Tanah NCR

    Published: Tuesday, 5 December 2017
    A- A+

    Tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) di Sarawak memerlukan satu penyelesaian holistik dan pantas. Isu berkenaan memberi lebih banyak tekanan kepada rakyat di negeri ini dan kerajaan sedang mencari penyelesaian bagi menangani isu tersebut dengan baik.

    Namun di sebalik Dayak khasnya Iban gigih menuntut NCR, Datu Sanib Said menulis tentang perlunya kesedaran Melayu tentang hak ncr menerusi laman blog beliau.

    Menurut catatan Sanib, Masyarakat Dayak, khususnya kaum Iban, telah diperuntukan dua juta hektar tanah namun mereka telah mengemukakan tuntutan baharu dengan menggunakan adat  Pulau Galau dan Pemakai Menoa.  Desakan ini telah menimbulkan keresahan di kalangan kaum Melayu Sarawak.

    Hak Adat Bumiputera Sarawak yang termaktub dalam undang-undang Sarawak Land Code (1958) memberikan hak yang sama kepada kaum Melayu Sarawak.  Kaum Melayu Sarawak mestilah memahami perkara tentang kedudukan dan fakta sebenar untuk mengambil tindakan sewajarnya dalam masa terdekat.

    2,000,000 hektar (2 juta hektar) tanah Hak Adat Bumiputera untuk penduduk Dayak telah diperuntukan oleh Kerajaan Negeri Sarawak. RM2,000,000 (2 juta ringgit) untuk menyukat 2,000,000 hektar tanah Hak Adat Bumiputera penduduk Dayak telah diluluskan oleh Kerajaan Persekutuan Malaysia.

    Manakala 804,826 hektar telah disukat sehingga tahun 2017. 643,017 hektar telah diwartakan dengan rasmi oleh Kerajaan Negeri Sarawak.

    Kerajaan Negeri Sarawak telah membentuk sebuah Task Force terdiri dari Datuk Amar Douglas Uggah (Pengerusi) Menteri Negeri dan Persekutuan, ahli politik, pegawai kanan Kerajaan dan pengamal undang-undang.Sebuah jawatankuasa bertindak telah ditubuhkan yang dianggotai oleh Datu Jaul Samion, Datu Ganie Ugay, Datu Thomas Akin Jelimin, Encik Francis Johen Adam, Encik Kilat Beriak, Encik Ding Seling, Encik Paul Raja dan Encik Salang Manjan (Setiausaha).

    Task Force ini pertama kali bermesyuarat pada 14 Mac 2017 dan sehingga 8 November 2017 melakukan 12 pertemuan. Dayak, khususnya kaum Iban, sekarang menuntut tanah adat yang lebih luas lagi dengan menggunakan Pulau Galau dan  Pemakai Menoa.

    Kerajaan Negeri Sarawak akan membentangkan usul meminda Sarawak Land Code 1958 pada persidangan DUN pada bulan Mei 2018 untuk mengiktiraf Pulau Galau dan Pemakai Menoa. -A Halim Jantan

    Artikel penuh tulisan Datuk Sanib Said boleh dibaca pada pautan INI

    Subjects:

  • No Comment to " Melayu Sarawak Harus Ketahui Hak Tanah NCR "