• MCPF Sarawak Wujudkan 28 Cawangan

    Published: Tuesday, 12 December 2017
    A- A+
    SIBU, 11 Dis (Bernama) – Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) bahagian Sarawak akan menubuhkan cawangan di semua 28 daerah polis di negeri ini.

    Pengerusinya, Dr Annuar Rapaee berkata cawangan itu akan meneliti masalah disiplin di kalangan remaja pelajar sekolah terutamanya penyalahgunaan dadah.

    “Buat masa ini, kami mewujudkan cawangan di bandar utama – Miri, Limbang, Bintulu, Sibu, Betong dan Kuching, sebelum diperluaskan ke kawasan lain,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat tentang penubuhan cawangan MCPF di Ibu Pejabat Polis Daerah Sibu di sini hari ini.

    Annuar, yang juga Menteri Muda Penyelidikan Teknologi dan Pendidikan, berkata jawatankuasa di peringkat cawangan akan dipengerusikan oleh ketua polis daerah manakala anggotanya pula terdiri daripada pemimpin masyarakat, pegawai pendidikan daerah dan pegawai perhubungan di sekolah.

    “Kami akan berganding tangan dalam mengenal pasti sekolah yang perlu kami dekati dan bantu yang mana program anjuran kami kelak akan menumpukan hanya kepada kumpulan sasaran,” katanya.

    Ditanya tentang penyalahgunaan dadah dalam kalangan pelajar di Sibu, Annuar, yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Nangka berkata keadaan itu tidak serius namun langkah proaktif perlu diambil untuk mengelak daripada perkara itu menjadi serius.

    Selain Sibu, MCPF telah mewujudkan cawangan di Miri dua minggu lepas dan dijangka mewujudkan baki dua cawangan lagi selepas ini. -- BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " MCPF Sarawak Wujudkan 28 Cawangan "