• McDonald's Sasar 10,000 Peluang Pekerjaan

    Published: Friday, 8 December 2017
    A- A+


    KUALA LUMPUR: McDonald's Malaysia menyasarkan 10,000 peluang pekerjaan dengan matlamat membuka 450 restoran rangkaiannya, menjelang 2025.

    Sumber tenaga kerja itu adalah sebahagian daripada pelan pertumbuhan sedekad perniagaan McDonald's Malaysia di bawah pemilikan baharu, Reza Group membabitkan pelaburan lebih RM1.4 bilion.

    Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan McDonald's Malaysia, Azmir Jaafar, berkata sehingga ini, 265 rangkaian syarikat makanan segera ini sudah memiliki lebih 12,000 tenaga kerja.

    "Sepanjang 35 tahun McDonald's di Malaysia, kami sudah memberi perkhidmatan kepada lebih 13.5 juta pelanggan sebulan di seluruh negara," katanya ketika berucap pada Majlis Pembukaan Restoran McDonald's Bukit Bintang di sini, hari ini.

    Yang turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Datuk Seri Jamil Salleh.

    Mengulas lanjut, Azmir berkata, sebahagian daripada pelaburan terbabit iaitu antara RM50 juta hingga RM100 juta diperuntukkan untuk melaksanakan transformasi teknologi baharu terhadap semua rangkaian restorannya.

    Katanya, berkonsepkan restoran moden, inovatif, mudah dan cepat, transformasi berkenaan bakal dilaksanakan secara berperingkat untuk tempoh tiga hingga lima tahun akan datang.

    "Antara transformasi dilakukan adalah pelanggan McDonald's kini tidak perlu beratur panjang kerana mereka boleh menggunakan kiosk layan diri atau 'self-ordering kiosk' (SOK) untuk membuat pesanan dan pembayaran.

    "Selain menjimatkan masa ketika keluar rehat waktu kerja, SOK juga menyediakan khidmat transaksi tanpa tunai bagi memudahkan pelanggan membuat bayaran menggunakan kad kredit atau debit.

    "Pelanggan mendapat kemudahan lain yang sudah dinaiktaraf seperti stesen pengecasan alat mudah alih, penyediaan WiFi berkelajuan tinggi serta papan menu digital untuk menu dan promosi terkini," katanya.

    Azmir berkata, sepanjang empat tahun lalu, harga menu McDonald's hanya mengalami dua hingga tiga peratus setahun kenaikan bagi memenuhi keperluan kos yang semakin meningkat serta kadar inflasi makanan kebangsaan di antara 3.5 hingga 4.5 peratus.

    "Kami komited memastikan harga tidak jauh beza daripada harga runcit dengan meletakkan rangkaian restoran popular sebagai penanda aras seperti gerai penjaja dan restoran mamak bagi mengekalkan nilai hebat dengan harga serendah RM5.99.

    "Itulah fokus utama harga terhebat dan rendah untuk semua hidangan sekali gus bukti komitmen terhadap pelanggan," katanya. - BH Online

    Subjects:

  • No Comment to " McDonald's Sasar 10,000 Peluang Pekerjaan "