• McDonald's Malaysia nafi beri bantuan kepada Israel

    Published: Sunday, 10 December 2017
    A- A+


    KUALA LUMPUR: McDonald's Malaysia (McDonald's) melahirkan rasa kecewa terhadap seruan netizen untuk memboikot restoran itu sebagai tindak balas terhadap pengisytiharan Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel, baru-baru ini.

    Menerusi satu kenyataan di Facebook, McDonald's menafikan dakwaan bahawa restoran makanan ringan itu menyalurkan dana kepada Israel seperti yang tersebar di media sosial.

    Syarikat tersebut menyifatkan dakwaan itu sebagai satu tuduhan yang tidak berasas.

    "Dakwaan bahawa McDonald's menyalurkan dana kepada Israel adalah satu tuduhan yang tidak benar, dusta, palsu dan fitnah.

    "Dakwaan yang dibuat oleh pihak yang tidak bertanggungjawab dalam mesej WhatsApp juga tidak berasas.

    "Sebagai rakyat Malaysia, kami memahami kekecewaan yang dirasai oleh umat Islam di seluruh dunia berhubung isu ini," kata Pengarah Urusan dan Pemilik Saham Tempatan Gerbang Alaf Restoran, Azmir Jaafar.

    Azmir berkata mereka tidak menyokong atau terlibat dalam sebarang konflik politik atau keagamaan di mana-mana negara di dunia.

    Tambah beliau, McDonald's tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan terhadap pihak yang tidak bertanggungjawab, yang terus menyebarkan fitnah menerusi platform media sosial dan saluran-saluran lain.

    McDonald's Malaysia yang mempunyai lebih 200 restoran francais di negara ini juga pernah berhadapan dengan seruan boikot pada tahun 2014 kerana didakwa memberi bantuan dana kepada Israel.

    Khamis lalu, Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mencipta sejarah sebagai presiden pertama AS mengiktiraf secara rasmi Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel. - Awani

    Subjects:

  • No Comment to " McDonald's Malaysia nafi beri bantuan kepada Israel "