• McDonald's Malaysia Buat Laporan Polis

    Published: Thursday, 14 December 2017
    A- A+

    PETALING JAYA: McDonald's Malaysia membuat laporan di Balai Polis Dang Wangi, semalam terhadap lebih 20 individu dan organisasi yang membuat dakwaan palsu serta mengajak memboikot restoran makanan segera itu.

    Laporan sama juga dibuat kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), semalam.

    Pengarah Urusan dan Pemilik Saham Tempatan Gerbang Alaf Restaurant Sdn Bhd, Azmir Jaafar, berkata individu dan organisasi terbabit juga mendakwa McDonald's Malaysia menyalurkan dana kepada Israel.

    Katanya, beliau menyerahkan pihak polis dan juga Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk menjalankan siasatan sebelum tindakan saman diambil terhadap mereka.

    "Salah satu tohmahan yang tidak benar dan fitnah, sumbangan McDonald's Amerika Syarikat kepada Jewish United Fund (JUF) melalui program pemberian sepadan.

    "Di Malaysia, kami tidak terbabit dengan program berkenaan sebaliknya hanya membayar royalti kepada McDonald's Corporation.

    "Justeru, kami menubuhkan satu pasukan peguam penasihat luar untuk membantu dan memastikan hak dan kepentingan syarikat serta lebih 12,000 pekerja dilindungi," katanya pada sidang media, di Pejabat McDonald's Malaysia, di sini, hari ini.

    Baru-baru ini, Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump mengisytiharkan Kedutaannya di Tel Aviv akan dipindahkan ke Baitulmaqdis sebagai langkah mengiktiraf kota suci itu sebagai milik Israel.

    Tindakan itu mencetuskan protes besar-besaran di seluruh dunia, termasuk di sini, dan antaranya memboikot McDonald's Malaysia.

    Mengulas lanjut mengenai perkara itu, Azmir berkata, JUF hanya salah satu daripada banyak badan di AS yang berhak untuk menerima sumbangan derma di bawah program pemberian sepadan, namun ia tidak terpakai di Malaysia.

    "Ini kerana JUF beroperasi bagi tujuan kebajikan di bawah landasan undang-undang Amerika Syarikat yang berkaitan iaitu Seksyen 501(c)(3) Undang-undang Percukaian Amerika Syarikat.

    "Sepanjang 2014, lebih 2,000 sumbangan derma pekerja pelbagai badan kebajikan yang dipadankan oleh McDonald's Amerika Syarikat di bawah program terbabit.

    "Daripada jumlah itu hanya sebilangan kecil iaitu tiga saja derma pekerja kepada JUF. Badan kebajikan Islam turut menerima sumbangan melalui kaedah yang sama," katanya.

    Beliau turut menyangkal dakwaan McDonald's Amerika Syarikat mengambil pendirian berkaitan sebarang konflik politik mahupun keagamaan yang berlangsung.

    Untuk maklumat lanjut orang ramai boleh layari laman sesawang McDonald's Malaysia di pautan www.mcdonalds.com.my/company/news/mengenali-mcdonalds-malaysia. - BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " McDonald's Malaysia Buat Laporan Polis "