• McDonald’s Kecewa Diboikot Kerana Trump

    Published: Wednesday, 13 December 2017
    A- A+

    McDonald’s Malaysia sangat kecewa dengan seruan untuk memboikot restoran kami, sebagai tindak balas terhadap pengumuman Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump baru-baru ini.

    Pengarah Urusan dan Pemilik Saham Tempatan Gerbang Alaf Restaurants Sdn. Bhd, Azmir Jaafar berkata, pihaknya tidak menyokong atau terlibat dalam sebarang konflik politik atau keagamaan di mana-mana negara di dunia.

    “Sebagai rakyat Malaysia, kami memahami kekecewaan yang dirasai oleh umat Islam di seluruh dunia berhubung isu ini.

    “Marilah kita bersatu dan menumpukan perhatian kepada perjuangan yang betul, dan mendoakan yang sebaiknya untuk mereka yang menerima kesan disebabkan perkembangan ini,” katanya dalam kenyataan, semalam.

    Mac’Donalds dilaporkan menerima tempias dengan tindakan Trump yang mengisytiharkan Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel.

    Percaya dengan dakwaan yang tersebar di media sosial, orang ramai mula menghentam dan memboikot perusahaan makanan segera itu serta-merta.

    Azmir berkata, dakwaan McDonald’s menyalurkan dana kepada Israel adalah satu tuduhan yang tidak benar dan ia adalah fitnah terhadap mereka.

    “Adalah penting untuk semua mengetahui bahawa perniagaan McDonald’s di Malaysia dikendalikan oleh Gerbang Alaf Restaurants Sdn Bhd, dan syarikat ini 100 peratus milik tempatan serta pemegang saham terbesarnya beragama Islam.

    “McDonald’s telah lama menjadi sebahagian daripada masyarakat, tanggungjawab sosial korporat amat kami titik beratkan dan lebih RM2.5juta telah dibelanjakan pada tahun ini sahaja untuk lebih 5,000 aktiviti-aktiviti kemasyarakatan dan turun padang dalam negara ini,” katanya lagi.

    Pihaknya juga bertegas akan mengambil tindakan ke atas mana-mana pihak yang membuat fitnah ke atas Mac’Donalds.

    “Kami menganggap tuduhan sedemikian sebagai fitnah dan tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan terhadap mana-mana pihak yang tidak bertanggungjawab, yang terus menyebarkan pembohongan melalui platform media sosial dan saluran-saluran lain,” katanya lagi. - Sinar Harian

    Subjects:

  • No Comment to " McDonald’s Kecewa Diboikot Kerana Trump "