• Mayat wanita dengan kesan jerutan

    Published: Saturday, 2 December 2017
    A- A+

    KAMPAR: Seorang wanita dipercayai mangsa bunuh ditemui dengan kesan jerutan di leher dan cedera di kepala di dalam ladang kelapa sawit Taman Permai, dekat Mambang Diawan, di sini petang tadi.

    Mangsa, S Letchumi, 28, ditemui terbaring di ladang berkenaan oleh seorang lelaki berusia 60-an yang mencari cendawan di kawasan terbabit kira-kira jam 2 petang.

    Ketua Polis Daerah Kampar, Superintendan Ng Kong Soon, berkata mangsa dipercayai dibunuh kurang dari tempoh 24 jam.

    "Terdapat kesan jerutan di bahagian leher mangsa dan kecederaan di kepala dipercayai akibat dipukul dengan objek tumpul.

    "Pemeriksaan lanjut di lokasi kejadian turut menemui kunci motosikal dan topi keledar dipercayai milik mangsa.

    "Siasatan lanjut menemui motosikal mangsa ditinggalkan di sebuah restoran di Bandar Baru Kampar," katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

    Kong Soon berkata, polis tidak menolak kemungkinan mangsa dibunuh di lokasi lain sebelum mayatnya ditinggalkan di ladang itu.

    Beliau berkata, polis masih menyiasat motif kejadian tetapi siasatan awal mendapati tidak mempunyai unsur samun kerana barang kemas mangsa masih ada pada badannya.

    "Polis sudah menghubungi waris mangsa dan mayat dihantar ke Unit Forensik Hospital Kampar untuk bedah siasat.

    "Unit Anjing Pengesan (K9) turut dipanggil ke lokasi kejadian untuk membantu siasatan bagi mengenal pasti suspek yang terbabit dalam kejadian itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan," katanya.-BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " Mayat wanita dengan kesan jerutan "