• Mayat tersangkut di dasar sungai

    Published: Wednesday, 13 December 2017
    A- A+

    KOTA BHARU: Mayat mangsa lemas di Sungai Kelantan tengah hari tadi ditemui kira-kira jam 3.20 petang tadi.

    Mangsa yang belum dikenal pasti, ditemui anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) kira-kira 15 minit selepas operasi mencari dimulakan.

    Pegawai Bomba Kanan II Balai Bomba dan Penyelamat Tunjong, Che Zamri Che Ya, berkata pihaknya menerima panggilan pada jam 1.20 tengah hari tadi dan seramai 10 anggota termasuk empat PPDA dari Balai Bomba Darulnaim dan Kota Bharu bergegas ke lokasi.

    "Operasi mencari dilakukan di sekitar lokasi terakhir mangsa dikenal pasti tenggelam iaitu kira-kira 0.6 meter dari tebing.

    "Memandangkan arus sungai yang tidak deras, mayat mangsa dijumpai dalam masa 15 minit tidak jauh dari lokasi jatuh pada kedalaman tiga meter di dasar sungai," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

    Sebelum kejadian, mangsa sempat menjerit meminta tolong dan disedari seorang pengawal keselamatan Lembah Sireh, Mohd Azrul Othman, 22.

    Mohd Azrul yang ketika itu sedang berehat di sebuah wakaf selepas selesai melakukan rondaan terdengar jeritan berkenaan segera ke tebing sungai sebelum ternampak mangsa sedang melambaikan tangan dan terus tenggelam tidak lama kemudian.

    Mayat dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) untuk bedah siasat.-BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " Mayat tersangkut di dasar sungai "