• Maximus bertanding DUN Tambunan

    Published: Tuesday, 26 December 2017
    A- A+

    KOTA KINABALU: Pemangku Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Seri Dr Maximus Ongkili, membayangkan hasratnya untuk bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tambunan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

    Maximus yang juga Ahli Parlimen Kota Marudu, berkata beliau sudah lama menjadi wakil rakyat Parlimen dan teringin untuk beralih berkhidmat kepada rakyat di peringkat negeri pula.

    "Saya sudah tiga penggal di Parlimen, jadi kalau dapat saya mahu bertanding di kerusi DUN dan kemungkinan di Tambunan," katanya kepada pemberita selepas sidang media pelarasan tarif elektrik bagi Semenanjung, Sabah dan Labuan, di sini, hari ini.

    Ketika ditanya lebih lanjut berkaitan hasrat itu, beliau bagaimanapun enggan memberikan kepastian, sebaliknya berkata ia perlu dibincangkan lebih lanjut dengan kepemimpinan parti termasuk Presiden PBS, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan, selaku penyandang DUN Tambunan.

    Maximus yang juga Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, berkata walaupun Pairin sudah menyatakan hasratnya sebanyak 99 peratus untuk tidak bertanding pada pilihan raya akan datang, masih ada baki satu peratus untuk beliau mengubah fikiran.

    Semalam, Pairin yang ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Krismas PBS, berkata beliau akan menggunakan baki satu peratus itu untuk mendengar nasihat kepemimpinan parti berhubung pemilihan calon PBS untuk PRU-14.

    Ditanya kerusi yang akan ditandinginya jika terus kekal di Parlimen, Maximus enggan memberikan kepastian sama ada terus kekal di Kota Marudu atau berpindah ke kerusi lain, termasuk Keningau yang ketika ini turut disandang Pairin.

    Maximus mengambil alih tugas memimpin parti selaku Pemangku Presiden sejak Januari lalu, selepas Pairin yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah mengumumkan hanya mahu menumpukan tugas sebagai menteri dalam Kabinet negeri, sehingga penggal pilihan raya sekarang berakhir.

    Sebelum itu, iaitu pada November tahun lalu, Pairin yang memimpin PBS sejak 1985 mengumumkan hasratnya untuk bersara daripada politik dan menyatakan beliau mahu menghabiskan masa bersama cucu serta menyiapkan bukunya.-BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " Maximus bertanding DUN Tambunan "