• Mati Selepas Persenda Ketua Kartel Dadah

    Published: Saturday, 23 December 2017
    A- A+

    MEXICO CITY: Tindakan seorang remaja mempersenda ketua kartel dadah terkenal Mexico di media sosial membawa padah apabila dia ditemui mati dengan badan dipenuhi peluru.

    Juan Luis Lagunas Rosales, 17, adalah seorang selebriti media sosial dan mempunyai jutaan pengikut termasuk di Facebook, Instagram dan Twitter.

    Remaja itu popular di media sosial kerana sering memuat naik gambar dan video lucu mengenai dirinya.

    Baru-baru ini, Rosales memuat naik satu video mempersenda dan menghina seorang ketua kartel dadah, Nemesio Oseguera Cervantes atau dikenali sebagai El Mencho.

    Beberapa hari kemudian Rosales ditemui mati dengan badannya dipenuhi sekurang-kurangnya 15 peluru di Culiacan, Mexico.

    Sekumpulan lelaki bersenjata dilaporkan mengepung Rosales yang berparti di sebuah bar pada Isnin lalu sebelum melepaskan tembakan ke arah remaja itu.

    Penyerang dengan mudah mengesan Rosales selepas dia mengemas kini lokasi dia berada di Instagram.

    Seorang pekerja bar berusia 25 tahun turut terkena tembakan dan disahkan meninggal dunia di sebuah hospital.

    Rosales antara gelombang baru di Internet sering memuat naik gambarnya meluangkan masa dengan gadis cantik dan meminum alkohol.

    Sebelum kejadian dia seolah-olah sudah meramal kematiannya sendiri selepas menyunting gambarnya pada imej Tupac Shakur yang diambil tidak lama sebelum penyanyi rap terkenal itu mati ditembak.

    El Mencho antara penjenayah paling dikehendaki di Mexico dan sesiapa yang dapat membunuhnya diberikan ganjaran AS$5 juta (RM20.4 juta).

    Dia adalah ketua Generasi Baru Kartel Jalisco yang pernah bersekutu dengan Kartel Sinola diketuai raja dadah Mexico, El Chapo.-Agensi

    Subjects:

  • No Comment to " Mati Selepas Persenda Ketua Kartel Dadah "