• Mati dibelasah tujuh lelaki

    Published: Wednesday, 6 December 2017
    A- A+


    SEORANG lelaki mati dibelasah sekumpulan tujuh lelaki selepas dipercayai mencuri sebuah motosikal dalam kejadian berhampiran Pusat Perniagaan Kiara, Bahau.

    Difahamkan, mangsa yang berusia 47 tahun itu didakwa mencuri motosikal jenis SYM milik seorang lelaki yang diletakkan di depan sebuah pusat snooker di pekan itu, Sabtu lalu.

    Ketua Polis Daerah Jempol Superintendan Muhd Nur Hishamuddin Hashim berkata, seorang lelaki membuat laporan polis mengenai kehilangan motosikal berkenaan di Balai Polis Bahau pada jam 10.30 malam.

    Beliau berkata, selepas itu, lelaki berkenaan bersama rakan-rakannya melihat rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di pusat snooker itu sebelum mendapati motosikal miliknya dicuri lelaki yang dikenali.

    “Lelaki itu kemudian menyebarkan rakaman CCTV itu melalui aplikasi WhatsApp bagi meminta bantuan mengesan motosikal dan pencuri terbabit.

    “Pada jam 8 malam Isnin lalu, dua rakan lelaki pengadu ternampak motosikal dicari sudah ditukar nombor pendaftaran di pekan Bahau sebelum meminta bantuan rakan lain mengejar hingga ke Rompin.

    “Mangsa berjaya ditahan sebelum dipukul menggunakan topi keledar. Suspek kemudian menghubungi rakan lain dan membawa mangsa ke Pusat Perniagaan Kiara sebelum membelasahnya hingga tidak sedarkan diri,” katanya.

    Menurutnya, selepas memukulnya, suspek kemudian membawa mangsa ke Balai Polis Bahau, kira-kira jam 1 pagi Selasa.

    “Suspek turut mengakui memukul mangsa hingga tidak sedarkan diri,” katanya.

    Katanya, mangsa kemudian disahkan meninggal dunia pada jam 3.25 petang hari sama ketika menerima rawatan di Hospital Tuanku Ampuan Najihah ( HTAN ) Kuala Pilah akibat parah di badan dan kepala.

    “"Berikutan itu, polis menahan tujuh lelaki berusia 20-an bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.-BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " Mati dibelasah tujuh lelaki "