• Masyarakat Luar Bandar Perlu Bijak Guna Kemudahan Agar Tidak Ketinggalan

    Published: Tuesday, 12 December 2017
    A- A+

    PUSA: Masyarakat luar bandar perlu bijak menggunakan kemudahan yang disediakan kerajaan untuk menjana pendapatan lebih lumayan agar tidak ketinggalan, demikian tegas Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Abang Openg ketika berucap merasmikan Jambatan Tandang Sari, di sini semalam.

    Penantian 60,728 penduduk di kawasan sekitar Pusa kini berakhir dengan perasmian jambatan tersebut yang menelan belanja sebanyak RM47 juta dengan jarak 327 meter dan mengambil tempoh selama 36 bulan untuk disiapkan.

    Memetik laporan Utusan Borneo, ketua menteri menjelaskan bahawa nama Tandang Sari dipilih sempena sejarah Saribas yang popular suatu ketika dahulu yang turut menyumbang kepada pembangunan negeri Sarawak.

    "Pembukaan jambatan sepanjang 327 meter ini adalah inisiatif kerajaan ke arah meningkatkan jaringan infrastruktur dan kemudahan rakyat sekali gus memberi keselesaan dan manfaat kepada rakyat di kawasan pesisir.

    "Pada masa sama, ia dapat merancakkan sosio ekonomi dan memberi faedah kepada rakyat meneruskan usaha membangunkan kawasan luar bandar," kata beliau.

    Ketua menteri berkata, kerajaan negeri akan terus menyediakan infrastruktur asas kepada penduduk luar bandar di Sarawak supaya kehidupan ekonomi bertambah baik.

    "Justeru, kita berharap masyarakat luar bandar bijak menggunakan kemudahan yang disediakan untuk menjana pendapatan lebih lumayan agar tidak ketinggalan," tegasnya. - Sarawakiana
  • No Comment to " Masyarakat Luar Bandar Perlu Bijak Guna Kemudahan Agar Tidak Ketinggalan "