• Marsha setia menanti zuriat

    Reporter: Yusz Man
    Published: Monday, 11 December 2017
    A- A+


    USAI menggegarkan pentas AF Megastar dengan bakat nyanyiannya yang begitu menyerlah, sepotong nama Marsha Milan Londoh mula menjadi sebutan ramai. Memegang tiket sebagai finalis program realiti Akademi Fantasia 3 (AF3), akuinya kerjaya nyanyiannya sebelum ini kurang meninggalkan impak kepada peminat.

    Lebih 12 tahun AF3 melabuhkan tirai, dia masih berada dalam industri, bukan sahaja sebagai seorang penyanyi, malah pelakon dan pengacara. Natijahnya, karier nyanyiannya seperti berkubur.

    Sehingga dia diberi peluang memperjudikan nasib dalam pertandingan AF Megastar, khalayak mula ingat kembali pesona bintang yang masih ada dalam diri pelantun lagu Untuk Terakhir Kali itu.

    “Alhamdulillah, syukur ramai yang mula sedar kembali keberadaan saya dalam industri sebagai penyanyi. Sebelum ini, ramai yang sudah lupa saya bermula sebagai seorang penyanyi.

    “Jarang saya diberi peluang dan ruang untuk menyanyi di kaca televisyen. Jadi disebabkan itu, saya fikir orang mula membuat kesimpulan saya sudah tidak menyanyi atau bukan penyanyi,” jelasnya ketika ditemui Kosmo! pada acara Meet & Greet bersama peminat di Vilej Damansara, Damansara Perdana, Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.

    Mengulas tentang penerimaan peminat terhadap single terbaharunya berjudul Hilang, Marsha, 32, amat terharu dengan sokongan yang diterima.

    “Alhamdulillah lagu Hilang mendapat sambutan yang baik daripada peminat. Selalunya sesebuah lagu mengambil masa yang agak lama untuk diterima. Berbeza dengan lagu ini kerana ia senang untuk didendangkan bersama.

    “Di corong radio pun semakin mendapat tempat di hati pendengar. Ramai juga peminat yang suka menyanyikan semula dan memuat naik dalam laman sosial masing-masing,” ujar Marsha bersemangat.

    Kongsi wanita yang dilahirkan di Michigan, Amerika Syarikat itu lagi, dia sudah mempunyai perancangan untuk muncul dengan single berikutnya. Single tersebut akan dilancarkan pada tahun depan.

    “Kali ini, saya mahu sebuah karya yang rancak. Saya mahu orang lihat saya sebagai seorang penyanyi yang versatil.

    “Apa pun, nyanyian akan tetap menjadi perkara nombor satu dalam karier saya. Saya tidak mahu lagi ‘tercicir’ seperti sebelum ini,” katanya yang akan muncul dengan sebuah filem seram berjudul Tujuh sekitar tahun awal tahun depan.

    Mengerjakan umrah buat pertama kali bersama suami tersayang, Mohamed Shaiful Nizam pada November lalu, ramai juga mendoakannya cepat-cepat menimang cahaya mata serta mengenakan hijab.

    Anak
    Tanpa berselindung, dia memberitahu tidak pernah berhenti mencuba untuk memperoleh zuriat, namun rezeki ternyata belum berpihak kepada dirinya.

    “Mudah-mudahan ada rezeki untuk saya menimang cahaya mata. Buat masa sekarang, belum ada lagi. Saya tidak tertekan dan menganggap apabila orang sering bercakap tentangnya sebagai doa,” katanya sambil tersenyum.

    Biar usia perkahwinan baru mencecah dua tahun, sudah ada pihak yang memberi saranan agar dia melakukan alternatif seperti In Vitro Fertilization (IVF).

    Berterima kasih dengan setiap nasihat dan saranan yang diberikan kepadanya, bagaimanapun kata Marsha, buat masa ini dia dan suami masih mahu menunggu proses itu berlaku secara semula jadi.

    “Saya masih muda dan ada orang menyarankan saya mencuba IVF. Namun, saya dan suami masih mahu menunggu, Insya-Allah ada rezeki buat kami. Doa-doakanlah,” jelasnya menyambut ulang tahun kelahiran ke-33 pada 6 Disember lalu.

    Diusik pertanyaan sama ada suami menghalangnya untuk terus aktif dalam dunia hiburan, Marsha mendedahkan, belahan jiwanya itu semakin bersifat terbuka terutama selepas dia menyertai AF Megastar.

    “Dia sebenarnya ada masalah untuk bersosial, namun tidak bermaksud dirinya seorang yang sombong. Sejujurnya, saya ada beritahu kepadanya yang saya tidak mahu menyertai AF Megastar, namun dia yang banyak memberi sokongan dan motivasi kepada saya.

    “Bukan takut untuk bertanding tapi saya sudah tidak biasa membuat persembahan di atas pentas. Namun, suamilah yang menghilangkan rasa takut itu serta memberi ketenangan kepada diri saya. Alhamdulillah, dia seorang suami yang amat sempurna buat saya,” tutur Marsha.

    Sebelum menggulung bicara, kata Marsha, suaminya sudah semakin boleh ‘menghadam’ komitmennya sebagai seorang anak seni. Katanya, sebelum ini suaminya itu bersikap agak janggal apabila dikelilingi media.

    “Sekarang dia sudah okey. Dia tiada masalah andai namanya ditulis dalam surat khabar atau berita. Bagaimanapun, andai disuruh bercakap di depan kamera, mungkin dia ada masalah sedikit,” kata Marsha sambil berseloroh.

    Hampir dua tahun mendirikan rumah tangga dengan suami tercinta, 
Mohamed Shaiful Nizam Mohamed Ismail, Marsha mengakui sering 
diajukan soalan berkenaan zuriat. Tidak mahu tertekan, wanita itu percaya pada rezeki.-kosmo

    Subjects:

  • No Comment to " Marsha setia menanti zuriat "