• Mangsa Banjir Di Kota Belud Meningkat Kepada 1,829 Orang

    Reporter: Yusz Man
    Published: Wednesday, 13 December 2017
    A- A+


    KOTA KINABALU: Jumlah mangsa banjir di Kota Belud meningkat kepada 1,829 orang daripada 758 keluarga setakat pukul 9 pagi ini berbanding 409 mangsa merangkumi 157 keluarga malam tadi.

    Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah dalam kenyataan berkata daripada jumlah itu, 532 orang daripada 252 keluarga ditempatkan di Dewan Masyarakat Tun Said, manakala 643 orang (264 keluarga) ditempatkan di Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan Taun Gusi 2.

    "Seramai 289 orang (78 keluarga) lagi ditempatkan di Sekolah Kebangsaan Pekan dan 365 orang (164 keluarga) ditempatkan di pusat pemindahan Dewan Sekolah Menengah Agama Tun Said," kata kenyataan itu.

    Kenyataan itu berkata satu lagi pusat pemindahan iaitu di Dewan Kompleks Sukan Butong sedia untuk dibuka untuk penempatan mangsa selanjutnya.

    Setakat ini, jumlah kampung yang terjejas banjir di Kota Belud kekal 26 manakala jalan raya yang tidak dapat dilalui pula sembilan.- BERNAMA


    Subjects:

  • No Comment to " Mangsa Banjir Di Kota Belud Meningkat Kepada 1,829 Orang "