• Mampukah OIC Ubah Keputusan Trump?

    Reporter: Bukan Nama Sebenar
    Published: Wednesday, 13 December 2017
    A- A+


    ISTANBUL: Semalam para pemimpin 57 buah negara anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) mula berdatangan ke Istanbul bagi menghadiri Sidang Kemun­cak Luar Biasa, hari ini. Tujuan kedatangan mereka jelas iaitu membincangkan kesan terhadap tindakan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald J. Trump mengiktiraf Baitulmuqaddis sebagai ibu negara Israel.

    Sejak keputusan itu dibuat pada 6 Disember lalu, bantahan berlaku di seluruh dunia termasuk rakyat AS sendiri. Pendirian itu memang dijangka kerana merupakan janji pilihan raya Presiden AS ke-45 itu.

    Tentu sekali keputusan itu dibuat AS setelah mempertimbangkan banyak perkara khususnya bantahan negara Islam dan kesannya kepada keamanan dunia, Nampaknya Trump telah bersedia untuk itu.

    Sebab itu, Sidang Kemuncak Luar Biasa OIC ini tidak boleh sekadar mengeluarkan kenya­taan bersama atau nanti dipanggil sebagai Deklarasi Istanbul pada akhir mesyuarat. Usaha mengumpulkan suara dan kekuatan dunia Islam oleh Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan ini harus disusuli dengan tindakan lebih tegas. Hanya ketegasan dan tindakan bersepadu dapat menghalang sekutu rapat Israel itu yang mempunyai kuasa veto di Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).

    OIC atau negara-negara Islam perlu membuktikan sesuatu. Mereka perlu menjawab kritikan yang semakin meluas bahawa negara Islam hanya menyuarakan perkara palsu dan bersikap hipokrit.

    Perlu ada elemen kejutan daripada OIC. Memang agak sukar untuk berbuat demikian kerana banyak keterbatasan pertubuhan yang diasaskan pada 1969 itu. Sejak tahun itu yang menyaksikan Masjid Al-Aqsa dibakar, bumi Palestin bukan sahaja tidak dapat dikekalkan keluasannya, malah semakin mengecil. Setelah perjuangan 48 tahun, hari ini AS pula mengiktiraf kota ketiga suci umat Islam itu sebagai ibu negara Israel.

    Lantas walaupun ada yang pesimis, banyak pihak begitu mengharapkan sidang kemuncak luar biasa ini bakal menjadi titik baharu perubahan positif di Palestin. Jurucakap kerajaan Palestin mengharapkan OIC membuat keputusan tegas mengiktiraf Baitulmuqaddis Timur sebagai ibu negara Palestin. Sebagaimana tindakan sepihak AS, negara OIC juga perlu segera menempatkan pejabat mereka di Baitulmuqaddis Timur.

    OIC juga diharapkan lebih berani bertindak sejalan dengan bantahan dan kecaman pelbagai pihak terhadap keputusan AS itu. Kesatuan Eropah (EU) yang bermesyuarat di Brussels, Isnin lalu umpamanya bertegas menolak keputusan AS itu. Mereka tidak menghiraukan desakan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu yang turut hadir pada mesyuarat itu agar EU mengikut jejak langkah AS. Sekutu rapat AS seperti Republik Czech juga tidak bersetuju dengan AS.

    Bagi Malaysia, pendirian sebagaimana ditegaskan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam isu Palestin adalah jelas dan tegas. Malaysia menentang habis-habisan keputusan AS itu kerana kemuliaan Baitulmuqaddis tidak boleh dibiarkan tergadai atau dihina.

    Malaysia bukan hanya menolak pengakuan Baitulmuqaddis sebagai ibu kota Israel tetapi konsisten untuk terus bersama rakyat Palestin memperjuangkan kemerdekaan dan hak-hak mereka. Najib yang dijadual tiba di Istanbul tengah malam Selasa (waktu Istanbul) akan membawa suara Malaysia itu.

    Sidang Kemuncak Luar Biasa OIC esok dijadual dibuka oleh Erdogan selaku pengerusi sidang kemuncak ke-13. Ia disusuli ucapan Setiausaha Agung OIC, Dr. Yousef Ahmad, Presiden Palestin, Mahmoud Abbas dan Raja Jordan, Raja Abdullah 11.

    - Utusan Online

    Subjects:

  • No Comment to " Mampukah OIC Ubah Keputusan Trump? "