• Malaysia Tidak Mahu Terikat Dengan Ugutan

    Reporter: uMieySurianie
    Published: Friday, 22 December 2017
    A- A+


    PUTRAJAYA - Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menegaskan, Malaysia tidak mahu terikat dengan sebarang ugutan dari mana-mana pihak termasuk Amerika Syarikat (AS).

    Timbalan Perdana Menteri berkata, Malaysia bukan penerima terbesar bantuan ekonomi dari AS.

    "Pada hemat saya, AS tidak seharusnya menggunakan ugutan sedemikian kerana ia merupakan pendapat masyarakat antarabangsa," katanya kepada pemberita ketika tiba di Masjid Putra, di sini bagi menghadiri Himpunan Solidariti Selamatkan Baitulmuqaddis hari ini.

    Beliau mengulas amaran oleh wakil AS di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Nikki Haley, untuk mengenal pasti negara-negara yang menentang cadangan AS untuk memindahkan ibu negara Israel dari Tel Aviv ke Baitulmuqaddis.

    Beberapa media antarabangsa melaporkan kenyataan Haley itu seterusnya mendapat respons Presiden AS, Donald Trump yang seakan-akan mengugut untuk menghentikan bantuan kepada negara-negara yang menentang usaha mereka.

    Ahmad Zahid yang juga pengerusi jawatankuasa penganjur perhinpunan tersebut berkata, Israel harus mematuhi keputusan yang dibuat di peringkat antarabangsa walaupun rejim berkenaan selama ini sering mencabul dan menolak resolusi PBB.

    Ditanya berkaitan pembukaan kedutaan Malaysia di Timur Baitulmuqaddis, beliau berkata, perkara itu akan dibawa ke mesyuarat Jemaah Menteri dan kertas memorandum kepada Kabinet akan dikemukakan oleh Menteri Luar.

    "Ini akan dibincangkan dalam mesyuarat akan datang iaitu minggu pertama bulan Januari," katanya. - UTUSAN ONLINE

    Subjects:

  • No Comment to " Malaysia Tidak Mahu Terikat Dengan Ugutan "