• Malaysia Terus Jadi Pilihan Pelabur Asing

    Published: Monday, 11 December 2017
    A- A+

    KUALA LUMPUR: Aliran masuk dana asing ke dalam pasaran saham negara terus meningkat untuk minggu ketiga berturut-turut dengan sejumlah RM337.7 juta sepanjang minggu lalu.

    Mengikut laporan dari MIDF Amanah Investment Bank Bhd, berdasarkan data awal Bursa Malaysia, tidak termasuk urus niaga luar pasaran, pelaburan asing yang direkodkan minggu lalu menyaksikan pasaran menarik dana melebihi RM300 juta buat kali pertama dalam tempoh 12 minggu.

    Katanya, jumlah itu adalah lebih tinggi berbanding RM272.3 juta yang diterima pada minggu sebelumnya.

    "Pada minggu lalu, pelabur asing menjadi pembeli bersih pada setiap hari, sekali gus melanjutkan minat pembelian oleh pelabur asing sembilan hari berturut-turut sehingga Jumaat lalu yang juga terpanjang dalam hampir tujuh bulan.

    "Pelabur asing memulakan awal minggu lalu dengan kukuh apabila melabur sejumlah RM89.5 juta susulan peningkatan mood daripada kelulusan Dewan Rakyat Amerika Syarikat (AS) dalam pembaharuan cukai minggu sebelum itu.

    "Namun, pelaburan asing pada Selasa menyusut kepada RM20.8 juta walaupun pasaran Bursa Malaysia mencecah paras tertinggi dalam dua minggu iaitu 1,724 mata," katanya.

    Tambahnya, pelaburan asing mencecah paras tertinggi pada Jumaat lalu apabila menerima sejumlah RM159.5 juta.

    "Ia bukanlah kejutan kerana sentimen positif di pasaran saham tempatan meningkat susulan data dagangan China yang luar biasa dan saham perbankan tempatan yang kukuh," katanya. - BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " Malaysia Terus Jadi Pilihan Pelabur Asing "