• Malaysia Perlu Bezakan Hubungan Dengan AS Dan Isu Baitulmuqaddis

    Published: Thursday, 14 December 2017
    A- A+


    ISTANBUL - Malaysia perlu membezakan antara hubungan yang menguntungkan dengan sikap Amerika Syarikat (AS) yang tidak selaras dengan pendirian negara, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

    Mengulas hubungan baik Malaysia dengan AS tetapi pada masa sama mengutuk tindakan kerajaan negara itu yang mengiktiraf Baitulmuqaddis sebagai ibu negara Israel, Perdana Menteri menjelaskan, bukan semua rakyat AS menyokong keputusan tersebut.


    “Kita tak boleh sekat umpamanya pelabur dari Amerika Syarikat daripada melabur ke Malaysia semata-mata kerana keputusan Presiden Donald Trump ini,” katanya. 


    Beliau menyatakan demikian kepada wartawan Malaysia selepas menghadiri Sidang Kemuncak Luar Biasa Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) di sini semalam.


    Najib yang diiringi isteri, Datin Seri Rosmah Mansor kemudian meneruskan perjalanan bagi lawatan kerja ke Bahrain.


    Mengulas langkah susulan selepas sidang kemuncak luar biasa hasil inisiatif Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan, Perdana Menteri berkata, OIC mungkin akan menggunakan platform Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dan persidangan PBB. 


    Najib yang dirujuk sebagai pemimpin yang rapat dengan Trump menjelaskan, rundingan dua hala termasuk dengan pentadbiran kerajaan AS perlu dilakukan dengan harapan negara itu akan sedar betapa pentingnya mencari perdamaian yang adil dan saksama.-UTUSAN ONLINE



    Subjects:

  • No Comment to " Malaysia Perlu Bezakan Hubungan Dengan AS Dan Isu Baitulmuqaddis "