• Malaysia Perlu Bersuara Isu Baitul Maqdis

    Published: Wednesday, 6 December 2017
    A- A+

    KUALA Lumpur tidak boleh mendiamkan diri dalam menentang matlamat Presiden Donald Trump menjadikan Baitul Maqdis sebagai ibu negara Israel. Tidak kira samada ia membabitkan Baitul Maqdis Barat atau Bailtul Maqdis Timur yang menempatkan Masjidil Aqsa.

    Secara kiraan politik, pasti keseluruhan Baitul Maqdis, kerana ini kemahuan Yahudi sejak sekian lama. Penguasaan terhadap keseluruhan Baitul Maqdis akan menamatkan akar umbi Islam di Tebing Barat yang dijajah Zionis sejak lima dekad lalu.

    Minggu lalu Trump menyuarakan hasratnya untuk mengumumkan janjinya yang dilafazkan setelah menjadi Presiden awal Januari tahun ini.

    Kuala Lumpur masih mendiamkan diri dan umat Islam di negara ini ikut menyepi. Apabila pemimpin tidak membantah, rakyat tidak akan cakna. Namun, bagi umat Islam yang mengikuti isu ini, sikap mendiamkan diri ini amat mengecewakan.

    Malah, ketika ini, suara penentangan terhadap niat Presiden Trump untuk membuat pengisytiharan tersebut, telah muncul lebih awal di peringkat dalaman AS.

    Para penganalisa politik dan peneliti dasar luar sudah lebih awal mengkritik, bahawa agenda politik Trump akan mencetuskan kekacauan di Palestin dan seluruh dunia Islam.

    Tunjuk perasaan dan keganasan oleh rakyat Palestin atau orang Islam seluruh dunia mungkin meledak dan mencetuskan ketegangan di luar kawalan.

    Suara bantahan di AS muncul melalui pandangan akademik dan intelek yang disuarakan banyak pihak termasuk bekas diplomat.

    12 jam tadi, umat Islam diseluruh dunia termasuk di Malaysia, berasa sedikit lega berikutan protes pertama sudah disuarakan dari Ankara. Presiden Turki, Reccep Tayib Erdogan mendahului suara protes pemimpin-pemimpin negara Islam.

    Apa kena dengan Kuala Lumpur? Mengapa mendiamkan diri? Bukanlah langkah Trump jelas bermakna akan mencabuli Baitul Maqdis? Dasar Trump terhadap Baitul Maqdis ini, sesuatu yang tidak pernah dilakukan mana-mana Presiden AS, sejak Israel menduduki Tebing Barat pada 1968.

    Semalam, Rumah Putih mengulangi pendirian: Trump akan tetap mengiktiraf Baitul Maqdis sebagai ibu negara Israel sekali pun melewatkan pengisytiharan tersebut.

    Trump sepatutnya melakukan pada Jumaat lalu bagi memenuhi tuntutan tempoh waktu yang dirancang Washington dan Tel Aviv.

    Berbalik pada sikap berdiam diri Kuala Lumpur terhadap isu ini.

    Sikap mendiamkan diri akan mendedahkan kerajaan kepada fitnah. Keengganan mengkritik dasar Trump akan menyebabkan rakyat berfikiran: Dasar hubungan KL-AS melangkaui kepentingan Islam.

    Fitnah akan tersebar, bahawa Kuala Lumpur atas sebab tertentu kelihatan tidak mempertahankan kepentingan Islam apabila membabitkan pencabulan AS.

    Apabila fitnah ini merebak, ia meletakkan kerajaan dalam kemelut fitnah berpanjangan. Banyak perkara akan disebarkan bersama fitnah ini dan kesannya sukar ditangani apabila sudah terlewat.

    Hari ini akan masuk tempoh 24 ke 48 jam pertama, Rumah Putih mengulangi pendirian Trump akan tetap mengisytiharkan Baitul Maqdis ibu negara Israel. Umat Islam mulai bimbang kedudukan Masjidil Aqsa, rumah Allah ketiga paling suci yang disebut di dalam Al Quran.

    Jadi, apakah kerajaan akan menjadikan Kuala Lumpur kekal membisu?

    Atau hari ini kita akan mendengar protes dan teguran diplomatik tersebut.- Mynewshub

    Subjects:

  • No Comment to " Malaysia Perlu Bersuara Isu Baitul Maqdis "