• Malaysia laksana GST progresif: PM

    Published: Friday, 15 December 2017
    A- A+

    KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak berkata, pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) di negara ini bersifat progresif dan mengambil kira keadaan ekonomi rakyat.

    Perdana Menteri berkata, masih ada salah faham mengenai pelaksanaan GST di negara ini dan menganggap cukai itu bersifat ketinggalan seperti pelaksanaan Cukai Tambah Nilai (VAT) yang diamal di negara lain.

    Katanya, mekanisme GST di Malaysia bersifat progresif yang mana golongan berpendapatan rendah menerima lebih banyak faedah bantuan kerajaan hasil kutipan GST berbanding mereka yang berpendapatan tinggi.

    "Ia berikutan ada pengecualian GST ke atas barang asas bagi memastikan golongan berpendapatan rendah tidak terkesan dengan pelaksanaan GST.

    "Golongan berpendapatan lebih tinggi akan membelanjakan lebih banyak pendapatan, sekali gus kutipan cukai menjadi lebih tinggi," katanya menerusi entri terbaru di blog rasminya, najibrazak.com, hari ini.

    Perdana Menteri berkata, hasil cukai itu disalurkan kerajaan secara bersasar terus kepada golongan berpendapatan rendah atau B40 yang lebih memerlukan.

    Katanya, ia merangkumi program Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) untuk menangani kos sara hidup, bantuan persekolahan, bantuan kepada pesawah padi, nelayan, pekebun kecil serta pembayaran khas kepada penjawat awam untuk membantu golongan berkenaan.

    Najib berkata, program bantuan bersasar berkenaan tidak akan dapat dilaksanakan jika mereka yang berpendapatan jauh lebih tinggi tidak menyumbang jumlah lebih besar.

    "Ini bermakna walaupun golongan berpendapatan rendah membayar cukai GST pada kadar enam peratus, faedah dan manfaat diterima susulan pelaksanaannya berlipat kali ganda berbanding golongan berpendapatan tinggi lain.

    "Pelaksanaan GST di Malaysia sudah mengambil kira keadaan ekonomi rakyat manakala kerajaan terus berusaha menjamin kualiti hidup terbaik untuk semua rakyat Malaysia," katanya. - BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " Malaysia laksana GST progresif: PM "