• Malaysia, India bakal terjemah sastera rakyat masing-masing

    Published: Saturday, 2 December 2017
    A- A+

    THANJAVUR, India: Malaysia dan India akan menterjemahkan karya sastera rakyat negara masing-masing ke bahasa Melayu serta Tamil.

    Bagi Malaysia, Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM) akan menterjemahkan 10 karya sastera rakyat India ke bahasa Melayu.

    Ia sebagai timbal balik kepada usaha diambil India melalui Bahagian Pembangunan Kerajaan Tamil, Tamil Nadu, yang mahu menerbitkan sastera rakyat Melayu ke bahasa Tamil.

    Usaha penterjemahan itu hasil hubungan dibina dengan India melalui syarikat penerbitan dari negara itu, Kalaignaan Pathipagam bersama Jabatan Pengajian India Universiti Malaya (UM) dan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA) yang berlangsung sejak Pertemuan Penyair India-Asean pada 2015.

    Pengarah Urusan ITBM, Mohd Khair Ngadiron, berkata proses penterjemahan karya itu dijangka dapat diselesaikan dalam tempoh sekitar enam bulan saja.

    "Kerja penterjemahan ini tidak akan memakan masa yang lama dan ia akan bermula selepas kami mendapatkan senarai sastera rakyat yang bersesuaian daripada pihak India untuk diterjemahkan ke bahasa Melayu.

    "ITBM sebelum ini pernah menterjemah dan menerbitkan naskhah dalam bahasa Tamil, bagaimanapun ini kali pertama kita melakukannya untuk pasaran India sendiri" katanya kepada BH selepas sesi dialog di Universiti Tamil, di sini.

    Yang turut hadir, Presiden PENA, Dr Mohamad Saleeh Rahamad; Ketua Bahagian Penyelidikan Sastera Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Dr Mohd Hanafi Ibrahim; Ketua Jabatan Pengajian India UM, Dr R Mohana Dass; Pensyarah Kanan Jabatan Pengajian India UM, Prof Madya Dr M Krishanan; Profesor Madya di Universiti Tamil, Dr G Pazhanivelu dan Pengarah Urusan Kalaignaan Pathipagam, M Nandan.

    Perjumpaan itu adalah sebahagian agenda bagi Pertemuan Penyair India-ASEAN yang disertai delegasi Malaysia, Indonesia dan Singapura.

    Pengarah Bahagian Pembangunan Kerajaan Tamil, Tamil Nadu, Dr G Vijaya Raghavan turut gembira dengan kerjasama bersama ITBM yang dicapai dalam sesi dialog itu.

    Beliau berkata pihaknya amat berminat menjalin kerjasama dengan Malaysia serta akan menyediakan dana bagi usaha penterjemahan karya sastera rakyat masyarakat Melayu ke bahasa Tamil itu.

    Sementara itu, Mohamad Saleeh berkata, usaha penterjemahan berkenaan adalah strategi terbaik mengantarabangsakan dan seterusnya memperkenalkannya kepada masyarakat luar.

    "Perkongsian sastera rakyat perlu dilakukan secara silang budaya dan itu juga sebabnya saya undang bersama ITBM dan DBP dalam acara tahun ini.

    "PENA hanyalah sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan kami hanya dapat merintis jalan kepada kerjasama ini tetapi pembabitan dan keupayaan ITBM dan DBP dapat memastikan perkara ini seterusnya dilaksanakan," katanya.

    Dalam perbincangan itu, Bahagian Pembangunan Kerajaan Tamil, turut berminat menjalinkan kerjasama dengan kerajaan Malaysia bagi menubuhkan Jabatan Pengajian India di Universiti Tamil.

    Subjects:

  • No Comment to " Malaysia, India bakal terjemah sastera rakyat masing-masing "