• Malaysia Airlines Dipilih Syarikat Penerbangan Utama ASEAN Di Indonesia

    Reporter: uMieySurianie
    Published: Thursday, 14 December 2017
    A- A+


    KUALA LUMPUR - Malaysia Airlines dipilih menerima anugerah Syarikat Penerbangan ASEAN terkemuka di Indonesia pada majlis Indonesia Travel Tourism Awards (ITTA) 2017/18.

    Syarikat penerbangan itu yang memaparkan pelbagai jenama pelancongan yang mengagumkan di seluruh industri pelancongan di Indonesia, adalah antara 160 calon dalam 50 kategori.

    Pengurus Rantau Asia Tenggara Malaysia Airlines , Yuzrizal Mohd. Yousuf menerima anugerah berkenaan bagi pihak syarikat.

    Mengulas mengenai kemenangan itu, Ketua Pegawai Komersial, Arved von Zur Muehlen berkata syarikat penerbangan itu amat berbesar hati diberikan penghargaan berkenaan oleh Yayasan ITTA Indonesia.

    "Kami kini mengendalikan 49 penerbangan mingguan ke Jakarta, 21 kali seminggu ke Denpasar Bali, 14 kali seminggu ke Medan dan paling baru menambah penerbangan berjadual tujuh kali seminggu ke Surabaya.

    "Dengan kemenangan ini, kami gembira untuk meraikan dan mengukuhkan lagi hubungan erat antara Malaysia dan Indonesia, dua negara yang berkongsi budaya, makanan dan bahasa yang sama," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Anugerah berkenaan yang dianjurkan oleh Yayasan ITTA, memberi penghargaan kepada peserta industri pelancongan dan hospitaliti yang cemerlang yang memenuhi harapan dan kualiti hospitaliti, di samping menjadi model bagi industri pelancongan yang pesat berkembang.

    Pesaing termasuk jenama hotel terkemuka, syarikat penerbangan dan resort mewah. - BERNAMA



    Subjects:

  • No Comment to " Malaysia Airlines Dipilih Syarikat Penerbangan Utama ASEAN Di Indonesia "