• Mahkamah Sesyen keluarkan waran tangkap terhadap anggota polis, abang

    Published: Thursday, 21 December 2017
    A- A+

    KOTA BHARU - Mahkamah Sesyen di sini mengeluarkan waran tangkap terhadap dua beradik termasuk seorang anggota polis berpangkat Lans Koperal serta isteri masing-masing yang merupakan penjamin kes samun yang dihadapi mereka.

    Hakim Nazri Ismail mengeluarkan perintah selepas tertuduh, Mohamad Fauzi Ariffin, 26, dan abangnya, Mohd. Fairuz, 29, serta isteri mereka gagal hadir pada prosiding untuk keputusan kes hari ini.

    Nazri berkata, antara syarat yang dikenakan kepada penjamin adalah untuk hadir ke mahkamah setiap kali prosiding perbicaraan berlangsung.

    “Mahkamah mengeluarkan waran tangkap kepada kedua-dua tertuduh serta penjamin yang masing-masing merupakan isteri tertuduh,” ujar beliau.

    Mohamad Fauzi dijamin Alyaa Natasha Sariman, 22, manakala Mohd. Fairuz dijamin oleh Siti Norfarhana Radzuan, 23.

    Kedua-dua tertuduh menghadapi pertuduhan bersama seorang lagi Lans Koperal polis, Adri Hazwan Ahmad,27, merompak berkumpulan Rahmah Omar, 53, dengan melarikan wang tunai RM3,050 pada pukul 11.15 malam, 18 Mac lalu, di Kampung Tanjong, Badang, di sini.

    Bagi kesalahan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum 20 tahun dan sebatan.

    Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Norazlinawati Mohd. Arshad manakala Mohamad Fauzi diwakili peguam Zulhaidi Akmal Hasan Basri dan Mohd. Fairuz tidak diwakili peguam.

    Mahkamah kemudian menetapkan 7 Januari depan untuk sebutan semula waran tangkap yang dikeluarkan hari ini. - K! ONLINE

    Subjects:

  • No Comment to " Mahkamah Sesyen keluarkan waran tangkap terhadap anggota polis, abang "