• Mahkamah Indonesia enggan isytihar seks luar nikah sebagai jenayah

    Published: Thursday, 14 December 2017
    A- A+
    JAKARTA: Mahkamah Perlembagaan Indonesia hari ini menolak petisyen untuk melarang hubungan seks di luar nikah.

    Lima daripada 9 hakim mengundi untuk kes itu diketepikan, keputusan yang dianggap kemenangan buat aktivis hak asasi yang bimbang petisyen oleh kumpulan konservatif itu akan mencetuskan kawalan moral dan diskriminasi khususnya terhadap masyarakat homoseksual di Indonesia.

    Ketua hakim Arief Hidayat berkata undang-undang mengenai perzinaan di Indonesia kini tidak bercanggah dengan perlembagaan, dan ianya bukan kuasa Mahkamah Perlembagaan untuk mencipta dasar baharu.

    “Plaintif patut menyerahkan petisyen mereka kepada penggubal undang-undang dan ia patut menjadi input penting dalam semakan semula kanun jenayah yang sedang dilakukan,” katanya.

    Parlimen Indonesia kini sedang mempertimbangkan semakan ke atas kanun jenayah negara itu.

    Permohonan mengharamkan seks luar nikah dikemukakan Aliansi Cinta Keluarga (AILA), sebuah organisasi terdiri daripada ahli akademik dan aktivis konservatif, yang mahu takrifan zina diguna pakai bukan sahaja kepada pasangan berkahwin tetapi sesiapa sahaja dalam atau luar perkahwinan, supaya menjadikan hubungan seks luar perkahwinan sebagai jenayah.

    Dalam aduan mereka, AILA berkata perkara tertentu dalam kanun jenayah negara itu “mengancam daya tahan keluarga dan juga Indonesia”.

    Sesetengah aktivis hak asasi berkata petisyen itu sebahagiannya disasarkan untuk menjadikan hubungan seks dalam kalangan homoseksual satu jenayah, yang buat masa ini tidak dikawal oleh undang-undang. - Reuters/FMT

    Subjects:

  • No Comment to " Mahkamah Indonesia enggan isytihar seks luar nikah sebagai jenayah "