• Mahkamah Indonesia Benarkan Amalan Zina

    Reporter: uMieySurianie
    Published: Monday, 18 December 2017
    A- A+


    JAKARTA – Mahkamah Perlembagaan Indonesia menolak petisyen untuk menjenayahkan zina atau hubungan seks luar nikah yang dikemukakan oleh kumpulan konservatif di negara ASEAN itu.

    Lima daripada sembilan hakim mengundi untuk menolak petisyen itu secara rasmi sekali gus memberi kemenangan terhadap aktivis hak asasi antarabangsa yang bimbang usul tersebut akan mencetuskan kawalan moral di Indonesia.

    Mereka mendakwa konon jika petisyen berkenaan tidak ditolak secara rasmi oleh pihak mahkamah terbabit, ia bakal memberi diskriminasi khasnya terhadap pengamal homoseksual di negara paling ramai umat Islam di dunia itu.

    Ketua Hakim Mahkamah, Arief Hidayat berkata undang-undang mengenai perzinaan di Indonesia kini tidak bercanggah dengan perlembagaan, dan ia bukan kuasa Mahkamah Perlembagaan untuk mencipta dasar baharu.

    “Plaintif patut menyerahkan petisyen mereka kepada penggubal undang-undang (Parlimen) dan ia patut menjadi input penting dalam semakan semula kanun jenayah yang sedang dilakukan,” katanya dalam penghakiman.

    Memetik laporan media tempatan, permohonan mengharamkan seks luar nikah telah dikemukakan oleh Aliansi Cinta Keluarga (AILA), sebuah organisasi yang terdiri daripada ahli akademik dan aktivis konservatif di Indonesia.

    Mereka mahu mahkamah memberi takrifan zina diguna pakai bukan sahaja kepada pasangan berkahwin tetapi sesiapa sahaja dalam atau luar perkahwinan, supaya menjadikan hubungan seks luar perkahwinan sebagai jenayah.

    Dalam aduan mereka, AILA berkata perkara tertentu dalam kanun jenayah negara itu “mengancam daya tahan keluarga dan juga Indonesia”. - MYNEWSHUB

    Subjects:

  • No Comment to " Mahkamah Indonesia Benarkan Amalan Zina "