• 'Macau Scam' sasar orang tempatan

    Reporter: Yusz Man
    Published: Tuesday, 19 December 2017
    A- A+


    ALOR SETAR: Sindiket penipuan 'Macau Scam' dipercayai semakin licik mencari mangsa dengan merekrut ahli baharu dalam kalangan orang tempatan.

    Ahli baharu itu dipercayai diarah menghubungi mangsa melalui telefon dengan golongan warga emas dikatakan semakin ramai terpedaya.

    Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Kedah, Superintendan Chan Teck Paing, berkata pihaknya menahan 57 ahli sindiket yang dikesan menipu mangsa sejak awal tahun ini.

    Beliau berkata, tangkapan membabitkan lelaki dan wanita tempatan berusia antara 20-an hingga 40-an yang dipercayai mempunyai kaitan dengan sindiket Macau Scam.

    "Bilangan mangsa yang terpedaya dengan sindiket itu semakin meningkat iaitu 114 orang tahun ini berbanding 18 mangsa tahun lalu.

    "Lebih mengejutkan, jumlah kerugian meningkat sehingga RM3.2 juta sejak awal tahun ini hingga November lalu berbanding RM365,221 pada 2016," katanya ketika ditemui di pejabatnya di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah, di sini.

    Teck Paing berkata, penipuan 'Macau Scam' berkait dengan kes penipuan menerusi panggilan telefon secara menyamar sebagai pegawai bank, pegawai polis dan pegawai mahkamah.

    Katanya, suspek melakukan penipuan menggunakan teknik 'spoofing' iaitu penyamaran nombor talian apabila pemanggil menggunakan perkakasan internet ketika membuat panggilan melalui internet (VOIP).

    Beliau berkata, antara alasan digunakan ketika menipu ialah dakwaan kononnya identiti mangsa digunakan oleh penjenayah dalam pinjaman bank sebelum talian disambungkan ke Bank Negara Malaysia (BNM).

    "Suspek turut menyamar sebagai pegawai polis dan memaklumkan anak mangsa ditangkap kerana terbabit dalam kes dadah sebelum diminta membuat bayaran untuk menyelesaikan kes berkenaan.

    "Orang ramai yang mengesyaki sesuatu sebaik menerima panggilan tidak dikenali diminta menghubungi polis atau pihak berkaitan supaya tidak ditipu," katanya.-BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " 'Macau Scam' sasar orang tempatan "