• 'Maaf Saya Terpaksa Buang Dia'

    Reporter: Azmin Ramlie
    Published: Tuesday, 26 December 2017
    A- A+

    TAIPING: "Tolong jaga anak ni baik-baik, maaf sebab saya terpaksa buang dia. Tapi saya akan melihat dia dari jauh."

    Itu antara isi kandungan nota yang ditemui di sisi seorang bayi lelaki yang ditinggalkan dalam kotak di tepi garaj sebuah rumah si Kampung Kurnia Jaya, di sini, awal pagi tadi.

    Nota itu yang dipercayai ditulis ibu bayi berkenaan turut meminta penghuni rumah berkenaan tidak memaklumkan cerita sebenar kepada bayi itu kelak.

    'Tolong jangan bagi tahu dia, beritahulah dia yang makcik pakcik adalah ibu kandung dia. maaf sekali lagi.

    'Saya tidak dapat jaga dia tapi saya sangat sayangkan dia. Maaf saya datang dari jauh, dengan harapan inginkan kebaikan kepada anak saya, biarkan dia hidup bahagia, janganlah bagi orang kutuk, hina dia anak haram, tolong jaga dia dan jangan bagi tahu orang luar selain keluarga', menurut nota itu lagi.

    Pemangku Ketua Polis Daerah Taiping, Superintendan Razlam Ab Hamid, berkata bayi lelaki itu berbalut kain langsir dan diletakkan di atas plastik hitam, ditemui penghuni rumah kira-kira jam 2.15 pagi tadi.

    "Bayi dianggarkan seberat kira-kira dua kilogram (kg) hingga 2.5 kg itu dipercayai dilahirkan kira-kira dua jam sebelum ditinggalkan di rumah berkenaan.

    "Hospital Taiping menerima bayi itu dalam keadaan dilahirkan cukup bulan, aktif menangis dan tali pusat masih belum diikat, manakala ibunya masih belum dikenal pasti," katanya.

    Razlam berkata, bayi berkenaan kini berada dalam keadaan sihat dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 319 Kanum Keseksaan.

    Subjects:

  • No Comment to " 'Maaf Saya Terpaksa Buang Dia' "