• M101 Lantik CRCC Jadi Kontraktor Utama Pembinaan Skywheel

    Published: Wednesday, 20 December 2017
    A- A+


    KUALA LUMPUR: M101 Holdings Sdn. Bhd. melantik China Railway Construction Corporation Malaysia Bhd. (CRCC) sebagai kontraktor utama projek pembangunan M101 Skywheel dengan nilai pembangunan kasar kira-kira RM2.2 bilion.

    Menurut M101 Holdings, Skywheel yang mendapat sentuhan reka bentuk oleh Studio F. A. Porsche, dijadual siap menjelang 2021 dan bakal menjadi mercu tanda ikonik baharu bagi Malaysia.

    Ketua Pegawai Eksekutif M101, Datuk Seth Yap berkata, pihaknya yakin Skywheel akan berjalan lancar berikutan kemampuan serta pengalaman CRCC yang menghampiri tujuh dekad lamanya.

    Terletak di tengah-tengah pusat bandar Kuala Lumpur, bangunan M101 Skywheel itu setinggi 78 tingkat yang membolehkannya memaparkan pemandangan bandar raya ini.

    Ia juga dikatakan pembangunan bersepadu pertama dunia yang mendapat sentuhan Studio F. A Porsche, pertama di dunia dengan tarikan roda gergasi Sky Ferries Wheel di tingkat 53 dengan titik pandang tertinggi 220 meter dari aras tanah, pengalaman beli-belah tertinggi dunia menerusi kemudahan SkyMall dengan ruang runcit lebih 200,000 kaki persegi dan pertama di Asia dengan kemudahan penginapan Planet Hollywood Hotel.

    “M101 bertumpu kepada pelancongan hartanah sebagai strategi teras perniagaan kami. Bukan setakat membina pembangunan bersepadu, kami sebaliknya membangunkan pembangunan jenama yang menepati keperluan pasaran dan melonjakkan lagi industri pelancongan Malaysia,” kata­nya dalam kenyataan di sini hari ini. – BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " M101 Lantik CRCC Jadi Kontraktor Utama Pembinaan Skywheel "