• Lukaku mula terasa bahang

    Published: Monday, 4 December 2017
    A- A+


    LONDON: Ketika Zlatan Ibrahimovic semakin menemui sentuhannya selepas pulih daripada kecederaan lutut dialami musim lalu, sudah tentu rakan sepasukan di Manchester United, Romelu Lukaku tidak senang duduk sambil memikirkan dia masih bergelut dengan prestasinya.

    Selepas berhijrah dari Everton dengan perpindahan bernilai 75 juta pound (RM412 juta) pada Ogos lalu, bintang Belgium itu sekadar menjaringkan lapan gol sepanjang 15 aksi dalam semua kejohanan setakat ini.

    "Sebagai penyerang, matlamat utama adalah bagaimana anda membantu pasukan mendapatkan gol bagi memastikan kemenangan dalam genggaman.

    "Di situlah penyokong akan memerhatikan anda dan sekiranya gagal melaksakan tugas dengan sebaiknya anda berada dalam situasi yang sukar.

    "Berdasarkan persembahannya, Lukaku dilihat tertekan dan gagal memainkan peranan dengan berkesan sedangkan perjalanan liga (Liga Perdana Inggeris) semakin mencabar menuju ke pertengahan musim," kata bekas kapten United, Gary Neville.

    Tanda soal mengenai kedudukan Lukaku dalam kesebelasan utama mula berlegar ketika United mendekati minggu berpotensi penting dalam musim mereka.

    United bakal menanti kunjungan CSKA Moscow dalam saingan Liga Juara-Juara awal pagi Rabu ini selain aksi penting menentang seteru utama mereka yang juga pendahulu EPL, Manchester City di halaman sendiri awal pagi Isnin depan.

    Ketika kebanyakan pemain khususnya di jentera serangan silih berganti - Martial, Lingard, Marcus Rashford, Henrikh Mkhitaryan dan Juan Mata - kedudukan Lukaku sebaliknya kekal dalam kesebelasan utama.

    Bagaimanapun, pengurus United, Jose Mourinho masih tetap mempertahankan ayam tambatannya itu apabila membayangkan akan terus menagih sentuhannya dalam dua aksi penting itu.

    "Bagi saya, perkara yang paling penting adalah kerja berpasukan. Sama ada dia menjaringkan gol ataupun tidak, ia bukan masalah besar buat kami," kata Mourinho. - AFP

    Subjects:

  • No Comment to " Lukaku mula terasa bahang "