• Lubuk barang tiruan diserbu

    Reporter: Yusz Man
    Published: Friday, 15 December 2017
    A- A+


    KUALA LUMPUR: Empat premis di Jalan Petaling di sini, yang menjadi lubuk perniagaan barangan berjenama tiruan diserbu penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), petang kelmarin.

    Dalam operasi bermula jam 3 petang itu, KPDNKK merampas pelbagai produk di premis berkenaan dianggarkan bernilai RM3,810.

    Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDNKK Kuala Lumpur Wan Mhd Yusof W Taib berkata, pihaknya menerima aduan syarikat pengeluar berhubung aktiviti empat premis itu dipercayai menjual produk tiruan menggunakan jenama syarikat berkenaan.

    “Seramai 12 anggota dan pegawai terbabit dalam operasi ini yang dipecahkan kepada empat kumpulan dan bagi melancarkan serbuan, wakil pihak cap dagang turut hadir.

    “Pemeriksaan di premis pertama merampas sembilan beg menggunakan jenama MCM dianggarkan bernilai RM270 manakala di premis kedua menemui 157 beg tiruan jenama Channel dengan nilai dianggarkan RM1,710,” katanya.

    Beliau berkata, pemeriksaan di premis ketiga berjaya merampas 55 beg jenama Channel dianggarkan bernilai RM1,650 dan premis keempat menemui lima beg menggunakan jenama MCM.

    “Pemilik dan pekerja premis diambil rakaman percakapan sebagai tindakan susulan manakala semua barangan yang disita dibuat pengecaman oleh wakil cap dagang.

    “Jumlah keseluruhan beg yang dirampas adalah sebanyak 226. Kes akan disiasat mengikut Seksyen 8(2) Akta Perihal Dagangan,” katanya.-hmetro

    Subjects:

  • No Comment to " Lubuk barang tiruan diserbu "