• Lorong Pemeriksaan Akan Ditambah Dan Diperketatkan Di Tebedu

    Reporter: Admin
    Published: Thursday, 28 December 2017
    A- A+
    KUCHING: Selain daripada pembinaan semula komplek dengan kemudahan infrastruktur yang lebih baik di Tebedu, bilangan lorong pemeriksaan akan ditambah serta tahap keselamatannya akan diperketatkan.

    Timbalan Perdana Menteri Datuk Patinggi Ahmad Zahid Hamidi berkata, berdasarkan laporan awal yang telah dikemukakan, wujud keperluan untuk membina semula komplek tersebut dengan kemudahan infrastruktur yang lebih baik.

    Selain itu katanya, bilangan lorong yang lebih banyak akan disediakan bagi memastikan aliran trafik yang lebih lancar serta sistem pemeriksaan yang lebih rapi serta memberi perkhidmatan yang lebih efisien bagi memenuhi kehendak semasa tanpa mengabaikan aspek keselamatan dan pencegahan jenayah.

    Tambahnya lagi, keperluan pembinaan kuarters yang baharu untuk kakitangan dan pembaikan kuarters yang sedia ada juga akan diteliti bagi menjaga kebajikan kakitangan kerajaan yang bertugas di komplek berkenaan.

    Beliau yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, kementeriannya akan menyelaras semua keperluan agensi dan jabatan yang beroperasi di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Tebedu, termasuk input-input daripada Kerajaan Negeri Sarawak bagi menyediakan cadangan projek yang lengkap untuk dikemukakan kepada Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri (UPE,JPM) dalam masa terdekat.

    Beliau,yang berkata demikian pada sidang media sempena lawatan rasmi ke Kompleks ICQS Tebedu hari ini menambah, perjanjian antara Malaysia dan Indonesia - Perjanjian Border Trade Agreement (BTA) dan Border Cross Agreement (BCA) bersama pihak Indonesia kan dimuktamadkan dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) bagi memastikan hasrat dan aspirasi Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak bagi memajukan kawasan tersebut tercapai.

    Dalam lawatan tersebut, Zahid telah diiringi Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg, menteri-menteri kabinet Sarawak dan Ketua-Ketua Jabatan Negeri dan Persekutuan. – Sarawakiana
  • No Comment to " Lorong Pemeriksaan Akan Ditambah Dan Diperketatkan Di Tebedu "