• Logo Baharu NajibRazak.com Merangkumi Lima Prinsip

    Published: Wednesday, 20 December 2017
    A- A+


    KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini memperkenalkan logo baharu bagi blog beliau, NajibRazak.com yang merangkumi lima prinsip iaitu ekonomi, global, berwawasan, rakyat di hati dan penyampaian.

    Menurut Perdana Menteri, lima prinsip tersebut berfungsi sebagai penunjuk arah dalam memacu pembangunan negara yang digunakan oleh pentadbirannya sejak 2009.

    Beliau menjelaskan prinsip pertama iaitu ekonomi memberi fokus ke arah memastikan ekonomi negara terus kukuh dan berdaya saing yang antara pelaksanaan adalah pengenalan Program Transformasi Ekonomi (ETP).

    “Sejak itu, ekonomi negara telah melangkah setapak demi setapak ke arah lebih kukuh dan kita berjaya mengharungi ketidakstabilan ekonomi dunia hasil perancangan teliti Kerajaan dan kesanggupan kita melaksanakan apa yang perlu dan bukan apa yang popular,” kata Perdana Menteri menerusi blog NajibRazak.com, hari ini.

    Beliau berkata, prinsip global pula dilaksanakan menerusi dasar dan pendekatan sehingga Malaysia berpengaruh di persada antarabangsa dengan kejayaan negara dipilih sebagai Anggota Tidak Tetap Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) bagi tempoh 2015 hingga 2016 selain memainkan peranan penting dalam isu kemanusiaan global seperti isu Rohingya dan Palestin manakala jalinan hubungan baik dengan hampir kesemua negara sehingga berjaya meningkatkan pelaburan asing dan menambah kuota haji.

    “Prinsip ketiga (berwawasan), kita memperkenalkan Transformasi Nasional 2050 (TN50) untuk kita merencana bukan sahaja apa yang perlu dilakukan, tetapi juga bagi mendengar aspirasi dan harapan rakyat mengenai masa depan Malaysia yang kita cintai ini.

    “Prinsip keempat (rakyat di hati) Program Transformasi Kerajaan diperkenalkan berdasarkan kepada hasrat dan keinginan rakyat. Kita juga mengambil langkah seperti memansuhkan subsidi pukal dan memperkenalkan subsidi bersasar, mengambil kira pandangan serta pendapat rakyat seperti dalam pembentukan bajet tahunan dan juga dalam TN50 yang mengguna pakai pendekatan bottom-up serta banyak lagi,” ujarnya.

    Prinsip kelima melibatkan penyampaian, katanya, di bawah Kerajaan Barisan Nasional (BN) berjaya Deliver kepada rakyat hampir kesemua yang dijanjikan termasuk aspek perumahan, projek berimpak tinggi yang berteraskan kepentingan rakyat (InfraRakyat), perkhidmatan awam, kesihatan dan pendidikan.

    “Insya-Allah, saya, kabinet dan kerajaan akan terus berpegang kepada lima prinsip ini terus memimpin negara ke arah mencapai bukan sahaja impian dan cita-cita, tetapi untuk masa depan yang lebih gemilang dan cemerlang buat rakyat Malaysia,” katanya.- Utusan Online

    Subjects:

  • No Comment to " Logo Baharu NajibRazak.com Merangkumi Lima Prinsip "