• Lima Kumpulan Kerja Rangka Dasar Industri 4.0 Kebangsaan - Mustapa

    Reporter: Azmin Ramlie
    Published: Tuesday, 12 December 2017
    A- A+

    KUALA LUMPUR: Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) sedang menyelaras lima kumpulan kerja merangkumi pelbagai kementerian bagi menghasilkan rangka kerja dasar Industri 4.0 Kebangsaan.

    Menterinya, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata draf pertama dokumen itu telah dibentangkan kepada beliau pada pagi Isnin dan akan dikemukakan kepada kerajaan menjelang akhir Januari tahun depan.

    "Saya berpuas hati dengan perkembangan itu dan kita akan cuba menyiapkannya dalam tempoh sasaran iaitu suku pertama tahun depan dan April dilihat sebagai (tempoh) paling sesuai," katanya kepada pemberita pada majlis minum petang MITI di sini, semalam.

    Pihak terbabit adalah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi; Kementerian Sumber Manusia, Kementerian Pendidikan Tinggi, Kementerian Kewangan dan Kementerian Komunikasi dan Multimedia.

    Mengulas selanjutnya, Mustapa berkata kumpulan kerja itu terbabit dalam usaha merangka deraf berkenaan selama 18 bulan.

    Malah, usaha bagi menyiapkan dokumen itu turut dijadikan sebagai keutamaan MITI bagi 2018.

    Beliau berkata, selepas dibentangkan di Parlimen, kerajaan selanjutnya akan memutuskan kementerian yang memikul tugas melaksanakan Industri 4.0 Kebangsaan itu.

    Selain itu, Mustapa berkata beliau tidak akan menyertai Forum Ekonomi Dunia di Davos, Switzerland pada tahun depan berikutan komitmen kerja setelah menghadiri acara itu sejak 2010 sehingga 2017.

    "Pilihan raya (umum) akan tiba dan saya pula merupakan Pengerusi Barisan Nasional Kelantan. Banyak tugas yang perlu saya lakukan," katanya. - BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " Lima Kumpulan Kerja Rangka Dasar Industri 4.0 Kebangsaan - Mustapa "