• Lima ditahan palsukan cop Imigresen

    Published: Wednesday, 20 December 2017
    A- A+


    KUANTAN: Jabatan Imigresen negeri menumpaskan sindiket pemalsuan cop keselamatannya dengan penahanan lima individu termasuk seorang warga emas dalam serbuan di sebuah bilik tidak bernombor di Jalan Wah Ah Jang, di sini semalam.

    Pengarahnya, Muhammad Hatta Kassim berkata, selain menahan empat warga Myanmar termasuk seorang wanita berusia antara 23 hingga 61 tahun, pihaknya turut merampas pelbagai dokumen palsu seperti empat passport Thailand, kad pelaut Thailand, cop keluar masuk Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Sungai Golok, Rantau Panjang serta wang tunai RM1,135.


    "Warga emas tempatan berusia 68 tahun itu bertindak sebagai 'runner' dengan cuba mengaburi mata pihak berkuasa yang membuat pemeriksaan ke atas nelayan warga asing.

    "Siasatan masih dijalankan dan kita percaya sindiket ini membuat keuntungan puluhan ribu ringgit kerana beroperasi sejak dua tahun lalu," katanya kepada pemberita, di sini hari ini.

    Menurut Muhammad Hatta, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 55D Akta Imigresen 1959/63 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi lima tahun, denda RM30,000 dan enam sebatan.

    "Modus operandi sindiket ini menumpukan kepada nelayan asing warga Thailand, Myanmar dan Vietnam di sekitar Pantai Timur," katanya. - UTUSAN ONLINE


    Subjects:

  • No Comment to " Lima ditahan palsukan cop Imigresen "