• Letupan Di Pusat Kebudayaan Syiah Kabul, 41 Disahkan Terbunuh

    Published: Friday, 29 December 2017
    A- A+
    Sekurang-kurangnya 41 orang terbunuh manakala 84 yang lain cedera dalam beberapa letupan berhampiran pusat kebudayaan Syiah di Kabul.

    “Serangan itu menyasarkan pusat kebudayaan Tabayan. Satu upacara diadakan sempena hari ulang tahun ke-38 pencerobohan Soviet di Afghanistan sebelum letupan berlaku.

    “Penyerang yang meletupkan dirinya menyasarkan pusat kebudayaan Tabayan Syiah di barat Kabul,” kata timbalan jurucakap kementerian dalam negeri, Nasrat Rahimi kepada AFP.

    Pusat itu berhampiran dengan agensi media, Afghan Voice Agency yang dalam laporan awal dinyatakan sebagai sasaran serangan.

    Letupan besar disusuli dua letupan lebih kecil yang tidak menyebabkan kecederaan, kata Nasrat.

    Daish mengaku bertanggungjawab menerusi agensi beritanya Amaq.

    Seorang lelaki yang menghadiri majlis berkenaan berkata, dia terdengar ‘letupan besar’ sebelum keadaan menjadi huru-hara.

    “Kami tidak tahu berapa ramai yang mati. Sebaik letupan berlaku kami bertempiaran menyelamatkan diri,” katanya kepada Tolo News.

    Pelajar universiti, Mohammad Hasan Rezayee yang turut berada di situ mengalami lecuran pada mukanya akibat letupan.

    “Kami di barisan kedua di dalam dewan. Letupan berlaku di belakang dan saya tidak melihat pengebom meletupkan diri,” katanya.

    Gambar dimuat naik ke Facebook Afghan Voice Agency menunjukkan pekarangan premis dipenuhi puing dan mayat berteraburan.

    Keadaan kelam-kabut di Hospital Istiqlal di mana mangsa termasuk wanita dan kanak-kanak dibawa. Ramai mengalami lecuran teruk pada muka serta badan, selain kecederaan akibat terkena serpihan bahan letupan.

    Anggota keluarga yang berhimpun di pusat perubatan itu untuk mencari orang tersayang menangis dan meratap tetapi ramai juga menjerit menyumpah kerajaan kerana dianggap gagal menamatkan serangan yang begitu kerap berlaku.

    Ada yang begitu berang sehingga cuma mampu merangkak dan menarik rambut sambil meraung.

    Wartawan AFP melihat mayat rentung di atas lantai sebuah bilik hospital dengan keranda kayu diberi kepada keluarga untuk membolehkan mereka menguruskan jenazah.- suaratv

    Subjects:

  • No Comment to " Letupan Di Pusat Kebudayaan Syiah Kabul, 41 Disahkan Terbunuh "